fbpx
JEON DO-YEON sebagai pembunuh upahan dalam Kill Boksoon.

Jeon ‘The Godmother’ Korea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENCECAH usia 50 tahun ketika naskhah aksi pertamanya, Kill Boksoon menggelegak sedunia, aktres senior Jeon So-yeon ternyata menangani karakter si pembunuh upahan legenda persis ‘The Godfather’ versi wanita.

Sejak memasuki Netflix 31 Mac lalu, naskhah Kill Boksoon menjadi perbincangan hangat dalam kalangan peminat K-drama dek kekuatan penceritaan dan penjiwaan cemerlang para pelakonnya.

Naskhah berdurasi selama dua jam 17 minit tersebut mencatat rating tinggi dengan menduduki carta pertama dalam senarai Netflix setakat ini.

Kriteria lain yang menjadi nilai tambah dalam kehebatan filem tersebut adalah kemunculan aktres senior, Jeon Do-yeon memegang watak utama, Gil Bok-soon.

Tiga dekad mewarnai kehidupan sebagai anak seni, Jeon Do-yeon mula menempa nama menerusi watak dramatik dalam filem The Contact pada 1997 dan A Promise (1998) sehingga menjadi kegilaan ramai.

Kejayaannya tidak terhenti di situ apabila namanya kian memuncak sebaik diangkat sebagai Pelakon Terbaik Festival Filem Antarabangsa Cannes (2007) menerusi filem Secret Sunshine sehingga membuka mata peminat global.

JEON DO-YEON akui tertekan apabila perlu menjayakan filem aksi yang menuntutnya memegang watak ibu dan pembunuh upahan pada masa sama.

Pembunuh profesional

Meskipun memegang watak pembunuh pada pertama kali, Do-yeon berupaya menghidupkan setiap babak serius dengan cemerlang, sekali gus meninggalkan impak yang sukar dilupakan penonton.

“Saya tidak berasakan katarsis semasa ingin menjalani penggambaran Kill Boksoon.

“Pada dasarnya orang mempunyai jangkaan yang sangat rendah terhadap watak pembunuh wanita.

“Namun, saya ingin menepis jangkaan peminat dan membuatkan mereka lebih minat dengan karakter yang saya bawakan,” katanya memetik laporan Kpopmap.

Menceritakan lanjut, Do-yeon akui pengalaman menjalani penggambaran Kill Boksoon berbeza dengan naskhah lain yang menjadi cabaran utama melakonkan watak Bok-soon.

“Dari awal kerjaya sehingga sekarang, saya sering berfikir satu senario dmengenai watak yang saya pegang.

“Saya mahu watak itu menjadi sesuatu yang boleh dikaitkan untuk mempersembahkan sebuah jalan cerita menarik buat penonton.

“Namun, pada kali ini amat berbeza apabila saya memilih menjalani penggambaran tanpa memikirkan senario tersebut dan saya berjumpa pengarah untuk bersama-sama merungkaikan jalan cerita,” jelasnya.

Aktres berusia 50 tahun itu amat menghargai jasa pengarah dan penulis Sung-hyun yang memberikan pengalaman berharga buatnya mencuba genre yang tidak pernah dibawa.

“Saya sangat berterima kasih kepada pengarah kerana memberikan genre berbeza daripada sebelumnya.

“Dengan peluang yang ada, saya mahu menunjukkan kepada khalayak bahawa saya seorang pelakon serba boleh yang mampu memegang pelbagai karakter dalam apa juga genre,” ujarnya.

DO-YEON bertegas, Bok-soon hanya membunuh orang yang tidak ada kena mengena dalam kehidupannya.

Ibu, kehidupan realiti

Dalam Kill Boksoon, Do-yeon turut memegang watak ibu yang ingin membesarkan anak remaja perempuannya.

Sebagai seorang ibu juga, Do-yeon menyifatkan persamaan watak yang dijayakan dengan kehidupan realitinya.

AKIBAT kecederaan yang tidak disengajakan ketika menjayakan sebuah babak aksi, penggambaran Kill Boksoon pernah ditangguhkan buat seketika

‘Godmother’

“Saya rasa memang ada persamaan antara saya dan watak kerana kedua-duanya sangat profesional dan bangga dengan kerjaya masing-masing

“Namun, di rumah kami benar-benar belajar bagaimana ingin menjadi seorang ibu yang lebih baik menghadapi semua masalah.

“Melalui filem tersebut, saya dapat memahami bagaimana keperibadian saya dan jenis pemikiran daripada watak itu,” ujarnya.

Sebelum menggulung bicara, Do-yeon mengakui tidak dapat melakonkan sesebuah watak dengan bagus seperti yang dijangka.

Dia juga berterima kasih kepada perkhidmatan penstriman yang kian meluas sehingga membuka jalan kepada lebih ramai pelakon wanita untuk beraksi tanpa sekatan.

“Mengimbas kembali, saya memainkan pelbagai jenis watak tetapi ada masa dalam hidup saya apabila tidak dapat melakukannya dengan baik.

“Melihat kepada perubahan kini terdapat banyak lagi peranan wanita dan saya rasa perkhidmatan penstriman mula memainkan peranan yang sangat penting di sini.

“Kewujudan platform penstriman memerlukan lebih banyak genre, cerita dan kandungan.

“Jadi kami melihat pintu baharu sedang terbuka dan lebih banyak peluang bervariasi. Sebagai pelakon senior, saya memang mengambil beberapa peranan yang sangat mencabar dan berani,” tuturnya.

BABAK lagak ngeri Do-yeon harus diberi pujian apabila mampu menunjukkan aksi berkesan walaupun mencecah usia 50 tahun.

Naskhah berkenaan mengisahkan seorang ibu tunggal yang merupakan pembunuh upahan bergelut mencari keseimbangan antara kehidupan peribadi dan kerjaya.

Cerita dimulakan dengan pertarungan sengit membabitkan Gil Bok-soon iaitu watak utama yang membunuh seorang gangster Jepun. Kematian tergempar itu menjadi isu besar dalam berita tempatan.

Rupa-rupanya, Bok-soon adalah sebahagian daripada pembunuh upahan profesional di bawah sebuah organisasi dan menjadikan pembunuhan sebagai pekerjaannya.

Dengan kerjaya berisiko tinggi, Bok-soon dilihat tidak berupaya menjaga hubungan dengan anak perempuannya Jae-young lakonan oleh Kim Si-a.

Selain Do-yeon dan Si-a, filem arahan Byung Sung-hyun menampilkan pelakon serba boleh seperti Sol Kyung-gu yang memegang watak sebagai Cha Min-kyu, manakala Lee Jae-wook menjayakan watak Kyung-gu semasa muda.

Penampilan dua lagi pelakon, Esom (Cha Min-hee) dan Koo Kyo-hwan (Han Hee-seong) menghidupkan lagi plot serba mendebarkan dalam Kill Boksoon.

Buat penggemar naskhah yang mengangkat jenayah dan mafia global seperti The Godfather dari Hollywood, Kill Boksoon ternyata sebuah karya mafia versi wanita, atau dengan kata lain ‘godmother’ Korea Selatan paling meyakinkan setakat ini.

SELAIN babak aksi pertempuran, Kill Boksoon juga memaparkan kisah hubungan ibu dan anak yang menyentuh hati penonton.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN