LONDON – Presiden Russia, Vladimir Putin dilaporkan mendapat gaji hanya £107,000 (RM581,635) pada tahun 2021, demikian menurut rekod Moscow seperti dilaporkan portal berita MailOnline kelmarin.
Bagaimanapun, pemimpin yang mengerahkan kereta-kereta kebal ke Kiev dan mengarahkan serangan peluru berpandu ke atas sasaran awam di seluruh Ukraine itu secara universal, dianggap antara lelaki paling kaya di dunia.
Tiada siapa tahu dengan tepat jumlah wang tunai milik Putin di dalam bank atau apakah aset yang dimiliki beliau.
Namun, terdapat beberapa anggaran menyatakan bahawa Putin memiliki kekayaan mencecah £200 bilion(RM1.08 trilion) atau lebih besar. Sekiranya anggaran itu benar, ia menyaksikan beliau mengatasi manusia paling kaya di dunia menurut senarai Forbes, Bernard Arnault.
Percubaan sebelum ini untuk membuktikan aset mana yang dimiliki oleh Presiden Russia itu adalah sia-sia walaupun kekayaan sebenarnya jauh berbeza secara daripada apa yang terdapat dalam rekod rasmi Russia.
MailOnline menceritakan bagaimana bekas perisik itu membina kekayaan luar biasa dalam kerjaya politiknya di Kremlin dan meneliti kaedah yang beliau gunakan untuk menyembunyikan kemewahannya.
Lonjakan kuasa dan kekayaan berganda Putin bermula pada awal tahun 1990-an selepas kejatuhan empayar Kesatuan Soviet. Putin memulakan kerjaya politiknya sebagai penasihat Datuk Bandar St. Petersburg sebelum berpindah ke Moscow dan bekerja di Kremlin.
Kerjaya politik Putin bagaikan bersayap semasa pemerintahan Presiden Boris Yeltsin dengan beliau menggantikan Yeltsin sebagai Presiden Russia pada tahun 2000.
Russia dihimpit kegawatan ekonomi selepas Kesatuan Soviet runtuh dan kerajaan ketika itu sangat memerlukan wang. Putin yang mempunyai kedudukan penting dalam perkhidmatan keselamatan KGB sebelum menceburi dunia politik, terlibat mengatur program penswastaan aset milik kerajaan.
Di bawah pentadbiran Yeltsin, Putin dan sebilangan penasihat ekonomi menjual banyak aset kerajaan kepada sekumpulan kecil ahli perniagaan pada harga murah dan memberikan kontrak negara kepada mereka. Beliau mewujudkan golongan kaya Russia disebut sebagai oligarki yang mana kekayaan mereka melonjak, manakala rakyat biasa bergelut dengan kehidupan.
Putin dan kroninya didakwa bukan sahaja menerima sogokan daripada jualan tersebut tetapi sebagai pertukaran kepada kekayaan, kumpulan oligarki tersebut perlu setia kepada beliau.
Presiden itu didakwa mempunyai akses kepada berpuluh-puluh kediaman persendirian di Russia dan serata dunia tetapi dua istana khususnya memaparkan kekayaan berganda beliau tetapi tidak didaftarkan atas namanya.
Putin juga dilaporkan mempunyai kapal layar mewah, koleksi kereta, menggunakan empat jet jumbo IL-96-300PU Russia yang canggih dilengkapi teknologi komunikasi dan teknologi gangguan radar selain dikatakan mempunyai mangkuk tandas bersalut emas.
Pada 2014, beliau telah ‘dihadiahkan’ sebuah kapal layar bernilai £500 juta (RM2.7 bilion). Kapal layar itu adalah antara kapal layar terbesar dan paling mewah di dunia. Ia hanyalah salah sebuah daripada beberapa kapal mengagumkan yang menjadi miliknya.
Kapal Scheherazade itu memiliki panjang 140.20 meter dan dinamakan sempena protagonis wanita dalam koleksi cerita dongeng Asia Barat, Seribu Satu Malam.
Kapten kapal itu ialah warga Britain, Guy Bennett-Pierce. Scheherazade dirampas tahun lalu di sebuah pelabuhan Itali sebagai sebahagian daripada langkah sekatan Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat ke atas Putin dan kelompok oligarkinya.
Putin yang mendakwa memperjuangkan ‘nilai universal semua orang Russia’ pernah memakai jaket berharga £10,200 (RM55,449) daripada pereka fesyen Itali, Loro Piana dengan sweater turtleneck yang ditenun bernilai £2,400 (RM13,046) daripada jenama Itali, Kiton.
Harga jaket itu lebih dua kali ganda purata gaji tahunan Russia pada 2021. – Agensi














