fbpx

Jemaah haji Malaysia diminta muat turun aplikasi Saudi Visa Bio

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aplikasi Saudi Visa Bio yang boleh dimuat turun melalui telefon pintar bagi permohonan visa haji.

PETALING JAYA – Semua bakal haji digesa memuat turun aplikasi Saudi Visa Bio pada telefon pintar masing-masing menerusi Google Play Store atau Apple App Store bagi permohonan untuk visa haji.

Pengarah Eksekutif Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ia berikutan Kerajaan Arab Saudi telah menguatkuasakan penggunaan aplikasi Saudi Visa Bio bagi tujuan permohonan visa haji bakal haji ke Arab Saudi, tahun ini.

Menurutnya, terdapat empat proses mudah perlu dilakukan iaitu melengkapkan alamat emel, memuat naik imbasan muka surat butiran peribadi dalam pasport Malaysia, imbasan muka serta imbasan 10 jari (biometrik).

“Bakal haji akan menerima emel pengesahan pendaftaran daripada Kementerian Luar Arab Saudi apabila maklumat peribadi telah berjaya dimuat naik ke dalam aplikasi tersebut melalui emel yang didaftarkan.

“Bakal haji juga diingatkan untuk terus menyerahkan pasport mereka kepada TH setelah mendapat pengesahan ini bagi TH memproses visa haji bakal haji berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, aplikasi Saudi Visa Bio merupakan satu lagi inovasi baharu yang diperkenalkan oleh Kerajaan Arab Saudi pada musim haji tahun ini, bertujuan memudahkan permohonan visa selain memendekkan tempoh prosedur kemasukan bakal haji ke Tanah Suci melalui Jeddah dan Madinah.

Katanya, Malaysia merupakan antara lapan negara terawal di dunia selain Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Kuwait, United Kingdom, Tunisia dan Maghribi yang dipilih untuk projek perintis ini mengambil kira reputasi Malaysia sebagai antara pengendali haji terbaik dunia yang telah menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa dan kemudahan dari kerajaan Arab Saudi.

Maklumat lanjut penggunaan aplikasi Saudi Visa Bio boleh melayari laman web rasmi www.tabunghaji.gov.my atau Media Sosial Rasmi TH. Sila hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919 untuk perkhidmatan TH yang lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI