fbpx

Isteri harap rakyat Malaysia bantu bawa pulang Kamis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JALIAH menunjukkan gambar suaminya, Kamis yang terkandas di Mekah ketika ditemui di Japerun Merlimau, Melaka. - Foto SYAFEEQ AHMAD

JASIN – “Amat besar harapan saya agar rakyat Malaysia dapat bantu bawa suami saya pulang semula ke tanah air”.

Itu luahan isteri kepada pesara Jabatan Kerja Raya (JKR), Kamis Ahmad, 67, yang terkandas di Mekah, Arab Saudi berikutan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Al Shefa Syarif Mansour akibat serangan jantung, sehari sebelum pulang ke tanah air selepas menunaikan umrah pada 14 Mac lalu.

Jaliah Yusof, 62, berkata, suaminya mengalami serangan jantung mengejut sehingga terpaksa menerima rawatan kecemasan di hospital berkenaan selama lapan hari sehingga 22 Mac.

Pesara guru itu berkata, keluarganya memerlukan dana berjumlah RM150,000 bagi membayar kos rawatan, selain menguruskan proses membawa pulang Kamis yang kini telah pulih sepenuhnya.

“Suami saya kini terpaksa ditahan di hospital berkenaan kerana masih belum jelaskan bil rawatan. Duit simpanan dah habis, duit insurans pula tidak cukup nak bayar bil sebanyak RM150,000.

“Setakat ini, saya hanya dapat mengumpul RM15,000 daripada rakan, jiran dan rakyat Malaysia yang prihatin sejak anak saya memuat naik kisah suami saya di Facebook,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Merlimau, di sini.

Tambah Jaliah, dia, suami serta dua adiknya bersama pasangan masing-masing mengerjakan umrah dengan berangkat ke Tanah Suci pada 5 Mac lalu.

Ujarnya, Kamis memaklumkan berasa kurang sihat dan mengalami sesak nafas pada sebelah pagi 13 Mac dan kesihatannya semakin merosot pada petang.

“Saya telah minta pada mutawif agensi umrah membawa suami saya ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan tidak sangka terpaksa dimasukkan hingga ke ICU.

“Suami tahun lalu pernah sesak nafas dan telah merujuk kepada Institut Jantung Negara (IJN) pada Februari lalu, doktor bagaimanapun membenarkan dia pergi menunaikan umrah cuma perlu jaga kesihatan,” jelasnya.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank, 554035429281 anak lelaki Jaliah, Syahmi Amar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI