fbpx
Gambar hiasan

Dewan Negara: Kadar elaun perkhidmatan awam akan dikaji semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerajaan sedang mengkaji semula rasionalisasi semua nilai elaun perkhidmatan awam di negara ini secara menyeluruh, ujar Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Ugak Kumbong.

Katanya, keutamaan akan diberikan kepada kadar elaun yang ketika ini masih di bawah RM100 dan kajian mengenai rasionalisasi elaun-elaun perkhidmatan awam lain yang tidak dapat disemak melebihi tempoh 20 tahun akan dijalankan.

“Kerajaan melalui JPA juga sedang meneliti kadar Elaun Sara Hidup (ESH) bagi pelajar tajaan di luar negara bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup mahasiswa,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023), di Dewan Negara, hari ini.

Ia sebagai maklum balas kepada cadangan Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff pada sesi perbahasan sebelum ini yang mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula kadar elaun ‘on call’ pegawai perubatan.

Sementara itu, Ugak berkata terdapat lebih 1 juta penjawat awam di dalam perkhidmatan membabitkan jawatan berwaran, tidak termasuk anggota polis dan tentera setakat 1 April lalu.

Katanya, ia merangkumi 764,601 penjawat awam Melayu; 75,743 Bumiputera Sabah, 66,839 penjawat awam Cina; 48,171 Bumiputera Sarawak; 41,450 kaum India; 6,526 pekerja dari kaum Bugis, Siam dan lain-lain serta sejumlah 2,252 dalam kalangan Orang Asli Semenanjung.

“Ketika ini terdapat lima pihak diberi peranan dalam urusan pengambilan dalam perkhidmatan awam iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, Suruhanjaya Pasukan Polis, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dan Majlis Angkatan Tentera.

“Bagi SPA kaedah lantikan adalah berdasarkan merit dan kompetensi calon tanpa kuota tertentu terhadap etnik atau kaum, semua warganegara Malaysia berpeluang untuk dipertimbang dalam persaingan terbuka dan adil,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Datuk Kesavadas Achyuthan Nair mengenai peratusan dan komposisi kaum dalam perkhidmatan awam ketika ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN