fbpx

Badut sedekah belon hiburkan kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. SHAHRIZAL (kanan) menyediakan belon kepada kanak-kanak yang berkunjung di Bazar Ramadan Bertam Putra, Kepala Batas di Seberang Perai.

SEBERANG PERAI – Seorang badut profesional yang dikenali MD SMILE bersedekah dengan memberikan belon pelbagai bentuk sambil menghiburkan kanak-kanak yang mengunjungi Bazar Ramadan Bertam Putra di Kepala Batas di sini.

MD SMILE atau nama sebenarnya, Mohd. Shahrizal Isa, 40, berkata, dia menghasilkan belon pelbagai bentuk itu adalah salah satu caranya untuk menceriakan kanak-kanak tatkala umat Islam menjalani ibadah puasa.

“Sebenarnya sudah 10 tahun saya memilih badut profesional sebagai kerjaya.

“Sejak dua tahun lalu, saya berada di bazar Ramadan ini setiap kali bulan puasa bagi tujuan menggembirakan hati kanak-kanak,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

Ujar Mohd. Shahrizal, selalunya apabila dia me­netapkan harga belon, ibu bapa biasanya akan ‘berat hati’ sedikit sebab mereka takut mahal dan sebagainya.

“Kalau bayar ikut suka hati, ramai yang tidak kisah dan akan beri ikut kemampuan, malah saya terima dengan hati terbuka kerana memang niat saya mahu kanak-kanak rasa seronok,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd. Shahrizal berkata, selalunya kira-kira 500 gram belon akan habis digunakan dalam masa dua hari.

“Banyaklah bentuk yang bia­sanya saya buat antaranya bunga, pedang dan mesingan. Semua kanak-kanak teruja dan sanggup tunggu giliran untuk mendapatkan belon.

“Paling banyak pernah saya terima bagi setiap belon adalah RM20 dan paling sikit syi­ling yang mungkin tidak sampai RM1. Namun saya tetap bersyukur dan berpuas hati kerana misi untuk menggembirakan kanak-kanak tercapai,” ujarnya.

Tambahnya, dia turut menyediakan perkhidmatan badut profesional khas untuk pelbagai majlis keramaian seperti jamuan hari lahir, konvokesyen, kenduri kahwin dan hari keluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI