fbpx

Suri rumah didakwa guna lambang Datuk palsu pada dua kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis mengiringi Suraya (kanan) selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. - Foto oleh ROSALWANI CHE SOH / KOSMO!

KOTA BHARU – Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menggunakan lambang bertulis Ahli Majlis Dato’-Dato’ Negeri Kelantan Darul Naim palsu pada dua buah keretanya pada tahun lalu.

Tertuduh, Suraya Ibrahim, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan lambang bertulis ahli-ahli Dato-Dato’ Negeri Kelantan Darul Naim yang tidak wujud dan tidak diiktiraf di bawah Enakmen Lambang-Lambang Dan Nama-Nama (Mencegah Daripada Disalahguna) 1977 (Kelantan Enakmen Bil 8/1977).

Lambang tersebut diletakkan pada dua buah kereta yang digunakan oleh Suraya iaitu kereta jenis Mercedes-Benz dan BMW di sebuah rumah di Kampung Bawah Lembah Bunut Payong di sini pada 25 Jun 2022.

Dua kereta milik Suraya yang menggunakan lambang bertulis Ahli Majlis Dato’-Dato’ Negeri Kelantan Darul Naim palsu dirampas polis pada tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhammad Yusoff Abdullah.

Terdahulu, Abu Arsalnaa menawarkan jaminan sebanyak RM70,000 atas pertuduhan yang dihadapi Suraya.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 3 Mei depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI