fbpx

PADU tak sokong mogok doktor kontrak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Persatuan Alumni Doktor Universiti Sains Malaysia (USM) (PADU) tidak menyokong tindakan mogok oleh doktor-doktor kontrak amnya, dan juga doktor-doktor kontrak graduan USM.

Presiden PADU, Prof Datuk Dr. Jafri Malin Abdullah berkata, tindakan mogok bukan penyelesaian terbaik kepada sebarang masalah yang timbul mengenai profesion pegawai perubatan atau mana-mana skim profesional lain.

Katanya, menganjurkan mogok juga secara amnya boleh menyebabkan perkhidmatan terjejas selama mana ia dianjurkan.

“Biasanya, ia dianjurkan untuk menyampaikan mesej tertentu kepada pihak yang berkenaan. Tetapi, perkara ini perlu ditimbang dengan teliti.

“Ini kerana perkhidmatan kesihatan adalah perkhidmatan kritikal, terutamanya kerana ia melibatkan kehidupan manusia dan kesejahteraan sejagat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr. Jafri Malin berkata, perkhidmatan kesihatan di negara perlu terus dianggap sebagai sektor yang kritikal dan begitu juga bagi petugas kesihatan.

“Ini disebabkan oleh kompleksiti sektor ini, serta cabaran, risiko dan jerih perih yang perlu dihadapi oleh anggota kesihatan dalam menjalankan tugasan dan tanggungjawab mereka.

“Justeru, saya berpendapat bahawa petugas kesihatan merupakan aset utama perkhidmatan kesihatan perlu terus diberi perhatian yang sewajarnya, termasuk imbuhan yang setimpal buat perkhidmatan mereka,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), hendaklah meneliti semula elaun sistem tugas atas panggilan dan keperluan serta kepentingan untuk meneruskan sistem tugas atas panggilan itu dengan sewajarnya.

“Tanpa sistem kesihatan yang utuh dan warga kerja perkhidmatan kesihatan yang terus memberikan perkhidmatan, tidak mungkin negara boleh terus maju ke hadapan.

“Pada masa sama, pihak JPA hendaklah meneliti semula pembatalan biasiswa untuk pelajar perubatan. Hal ini kerana ianya sangat memberi kesan kepada pelajar-pelajar perubatan, terutamanya mereka yang dalam golongan B40,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI