fbpx

Kawan satu ‘batch’ lebih popular, Fazziq Muqris tak dengki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAZZIQ MUQRIS

SIRI televisyen popular Projek: High Council yang mencipta fenomena tersendiri sedikit sebanyak telah memberi tempias populariti kepada pelakon baharu, Fazziq Muqris.

Biarpun kehadirannya sebagai Zahrin dalam mewarnai siri arahan Anwari Ashraf dan Zulaikha Zakaria tersebut sekadar pelakon pembantu, namun impak daripada penerimaan peminat terhadap karya tersebut membuatkan namanya juga menjadi sebutan.

Bagi jejaka berusia 23 tahun itu, Projek: High Council telah membuka ruang kepada dirinya untuk terus menempa nama dalam dunia lakonan walaupun agak ketinggalan berbanding pelakon seangkatan, seperti Mierul Aiman dan Amir Ahnaf.

“Saya bersyukur atas penerimaan peminat kerana menerima kehadiran saya dalam mewarnai persada seni hiburan tanah air.

“Tidak dapat dinafikan siri Projek: High Council ini telah membuka ruang kepada diri saya untuk terus berlakon.

“Walaupun hanya memegang watak pembantu sebagai Zahrin, tapi orang percaya dan sedar kewujudan saya dalam siri tersebut,” ujarnya.

Kata pelakon dengan nama lengkap Muhammad Fazziq Mohd. Shariff itu lagi, dia percaya kepada rezeki walaupun rakan seangkatannya (Mierul dan Amir) ketika sama-sama menyertai pertandingan Hero Remaja 2021 lebih menyinar berbanding dirinya.

“Saya satu ‘batch’ Hero Remaja bersama Mierul Aiman dan Amir Ahnaf. Saya akui populariti mereka lebih sedikit berbanding saya.

FAZZIQ akui rakan seperjuangannya, Mierul dan Amir Ahnaf lebih popular berbanding dirinya.

“Namun jauh di sudut hati, saya tidak menyimpan sedikit pun rasa dengki dan iri hati. Malah saya sentiasa menyokong mereka sebagai adik-beradik.

“Itu rezeki mereka. Ini adalah permulaan bukan sahaja untuk mereka, begitu juga saya. Saya percaya pada rezeki. Masing-masing ada kelebihan dan kekuatan sendiri. Mungkin masanya akan memihat pada saya suatu hari nanti,” tegas Fazziq.

Selepas muncul dalam siri Projek: High Council, lelaki dengan ketinggian 172 sentimeter itu turut mengakui kehidupannya agak berubah selepas lebih dikenali.

Bukan mahu mendakwa dirinya kini sudah semakin popular dan dikenali, tetapi hanya mahu berkongsi rasa gembiranya apabila diterima peminat sebagai pendatang baharu dalam dunia lakonan.

“Sebelum ini orang mungkin tidak pernah sedar kehadiran saya dalam bidang lakonan kerana saya lebih dikenali sebagai penyampai radio.

“Sejak semakin dikenali, saya suka kalau orang tegur saya. Tapi itu bukan bermakna saya mahu tunjuk saya hebat dan popular.

“Pada masa sama, saya kena juga berhati-hati, takut tersilap langkah sehingga mencalarkan nama baik saya,” kata jejaka berdarah kacukan itu.

FAZZIQ bagaimanapun berasa dihargai apabila peminat mula mengenalinya kini.

Berkongsi pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika bertemu peminat, lelaki berkulit cerah itu teruja saat kali pertama diserbu peminat ketika melakukan promosi Projek: High Council di pusat beli-belah KLCC.

Kata Fazziq, itu pertama kali dia berdepan situasi sebegitu, sekali gus memahat memori sebagai pengalaman yang tidak boleh dia lupakan.

“Selain gembira jika disapa, saya juga gembira jika ada peminat yang mahu bergambar dengan saya. Sebagai seorang selebriti, saya akan melayan sebaik mungkin untuk membuatkan mereka berasa gembira.

“Saya harap, saya akan menjadi pelakon yang selalu dan sentiasa merendah diri,” pintanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI