fbpx
PERKHIDMATAN bas ekspres mencatat jualan tiket tertinggi melebihi 400,000 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. - GAMBAR HIASAN

500,000 tiket balik raya habis dibeli perantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pengangkutan awam darat seperti bas ekspres dan tren masih menjadi pilihan orang ramai untuk pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri apabila lebih setengah juta tiket bagi perkhidmatan tersebut habis terjual.

Perkhidmatan bas ekspres paling menjadi rebutan apabila lebih 400,000 tiket perjalanan ke semua destinasi di seluruh negara telah terjual, manakala 100,188 lagi tiket adalah bagi perkhidmatan tren.

Yang Dipertua Persatuan Bas Ekspress Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa), Laili Ismail berkata, perkembangan itu membuktikan pengangkutan awam adalah pilihan terbaik untuk pulang ke kampung walaupun hampir kesemua rakyat mempunyai kenderaan masing-masing.

Katanya, kuota sebanyak 400,000 tiket bas yang disediakan untuk perjalanan sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini habis terjual sejak 30 Mac lalu.

“Tiket tersebut adalah untuk perjalanan bermula 17 April hingga 21 April iaitu lima hari sebelum raya termasuk 23 April sehingga 27 April untuk selepas perayaan.

“Destinasi paling tinggi permintaannya adalah laluan Kuala Lumpur-Kota Bharu apabila le­bih 76,000 tiket terjual melibatkan 190 buah bas.

“Walaupun semua tiket habis terjual, pihak Pembawa akan menyediakan bas tambahan bergantung kepada permintaan semasa. Kita boleh menyediakan kira-kira 50 buah bas tambahan,” katanya kepada Kosmo! kelmarin.

Mengulas lanjut, Laili berkata, kerajaan membenarkan kenaikan harga tambang bermula 20 April hingga 30 April sebanyak 10 peratus berdasarkan Lesen Perubahan Sementara (LPS) yang dikeluarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Ujar beliau, sebagai contoh, harga tiket bas semasa musim perayaan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Kota Bharu adalah RM48.40 sehala berban­ding harga hari biasa RM44 sehala.

“Harga tiket bas adalah harga yang dikawal oleh kerajaan dan pengusaha tidak boleh menaikkan harga tiket sewenang-wenangnya,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata, pada tahun ini pihaknya menyediakan 32 perkhid­matan tren elektrik (ETS) untuk semua laluan dari Gemas hingga ke Padang Besar.

Selain itu katanya, sebanyak 22 perkhidmatan KTM Antarabandar pula disediakan untuk laluan dari Gemas hingga ke Tum­pat dan Johor Bahru.

“Sempena Aidilfitri tahun ini, KTMB menawarkan sebanyak 179,858 tiket ETS dan KTM Antarabandar bagi tarikh 19 April hingga 25 April.

“Setakat 29 Mac lalu, jumlah tiket yang telah terjual adalah 100,188. Tiket pada 19 April hingga 1 Mei bagi laluan Kuala Lumpur-Padang Besar pula telah habis dijual,” katanya.

Ujarnya, pihak KTMB turut menyediakan perkhidmatan tren ETS tambahan berikutan permintaan yang tinggi.

“Bagi perkhidmatan ini, kita menyediakan empat ETS tambahan dengan 8,820 tiket ditawarkan bagi laluan KL Sentral-Padang Besar dan KL Sentral-Butterworth bagi perjalanan dua hala bermula dari tarikh 19 April hingga 25 April.

“Jualan tiket bagi tren tambahan ini telah mula dijual pada 23 Mac lalu dan setakat 29 Mac, baki tiket adalah sebanyak 4,531.

Sementara itu, pengangkutan udara seperti kapal terbang turut menjadi pilihan golongan perantau terutama bagi destinasi ke Sabah dan Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif Air­Asia Malaysia, Riad Asmat berkata, permintaan terhadap per­khidmatan itu menunjukkan tanda positif apabila 70 peratus daripada 11,400 tempat duduk yang ditawarkan syarikatnya sudah dijual bagi tarikh 19 hingga 22 April ini.

Katanya, sebanyak 124 pe­nerbangan tambahan istimewa pada kadar tambang rendah turut dilancarkan untuk musim perayaan Aidilfitri ini bermula 19 April hingga 1 Mei.

“Walaupun peningkatan tem­pahan penerbangan pada minggu menjelang hari raya sangat ketara, namun masih terdapat banyak tempat duduk menerusi penerbangan tambahan istimewa.

“Penerbangan tambahan istimewa pada pada tambang rendah tetap ini tersedia untuk beberapa destinasi seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri di Sarawak dan Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau di Sabah.

“Tetamu juga boleh me­nempah penerbangan dari Johor Bahru ke Miri, Sibu, Kuching dan Kota Kinabalu,” katanya.

Riad berkata, antara destinasi yang mencatat 100 peratus tembahan menerusi penerbangan tambahan istimewa ialah laluan Kuala Lumpur-Tawau pada 19 April, Johor Bahru-Kuching (19 dan 20 April), Johor Bahru-Sibu (20 April) dan Kuala Lumpur-Kuching pada 22 April.

“Masih banyak tempat duduk yang tersedia pada tambang rendah tetap seperti Kota Kinabalu ke Johor Bahru dan Kuala Lumpur, Kuala Lumpur ke Bintulu, Johor bahru ke Miri, Sibu ke Johor Bahru dan lain-lain antara 19 dan 22 April,” jelas beliau. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN