fbpx

500 motosikal dikepung, 334 saman dikeluarkan di Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara penunggang motosikal yang diperiksa dalam Op Tutup yang dijalankan di ibu negara, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 500 motosikal telah diperiksa membawa kepada tindakan 334 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Op Tutup yang dijalankan di ibu negara, malam tadi.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan, Op Tutup dijalankan berikutan aduan orang awam terdapat ratusan remaja berkumpul dan membuat bising di kawasan KLCC setiap hujung minggu.

“Hasil daripada pemantauan, tindakan Op Tutup telah diambil dan lebih kurang 500 motosikal telah diperiksa.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 29 motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Alam Sekitar serta diarahkan mengubah ke struktur asal,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Menurut kenyataan itu, operasi tersebut melibatkan seramai 85 pegawai dan anggota polis JSPT Kuala Lumpur.

“Operasi bermula pada pukul 10 malam Sabtu di Jalan Raja Laut dan Jalan Tun Razak diikuti Op Tutup di sekitar Jalan Ampang, Jalan P Ramlee dan Jalan Yap Kwan Seng pada pukul 1.30 pagi dan berakhir pukul 4 pagi,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, dua remaja ditahan kerana kesalahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.

“Mereka akan dituduh di bawah Seksyen 108(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI