SATU perihal yang tidak pernah berganjak atau berubah tentang Anna Jobling sedari dirinya debut dalam bidang seni adalah, dia jarang gagal dihubungi media.
Pernyataan tersebut bermaksud, tiada jurang ‘besar’ antaranya dengan wartawan apabila ingin mendapatkan atau bertanyakan tentang kepastian.
Ada telefon pintar, hantar mesej atau soalan kepadanya, 99.9 peratus kemungkinan dia akan menjawab dan tidak langsung melarikan diri apatah lagi memandang enteng.
Mungkin Anna sendiri atau pasukan di belakang yang menguruskan kerjayanya akan berbuat demikian, situasi tersebut tetap satu kualiti yang bagus untuk seseorang anak seni.
Hilang nilai eksklusif? Biarlah, kerana menyusur akar tidak akan hilang bisanya.
Anna barangkali juga berpendapat, kalau tidak ‘dicari’ menerusi panggilan telefon, dia akan ditemui rakan-rakan media pada kemudian hari dalam acara-acara berikutnya.
“Alhamdulillah, rezeki. Orang kata saya sibuk tetapi saya anggap semua ini sebagai rezeki yang perlu dihargai.
“Satu benda, saya lebih suka sibukkan diri daripada duduk di rumah tak buat apa-apa.
“Saya tak pernah memilih apa kerja yang saya akan lakukan selepas ini.
“Selari dengan usia kerjaya yang kian matang, saya nak terus dicabar dari segi apa sekalipun yang mampu meningkatkan kualiti sebagai seorang anak seni,” katanya kepada HibGlam.

Memualkan
Popularitinya meroket terutama selepas membintangi drama rantaian Melur Untuk Firdaus yang kini sudah memasuki musim kedua, Anna atau nama sebenarnya, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman masih tidak menyangka semua itu berlaku dalam usia kerjaya yang masih mentah.
“Saya selalu cakap pada diri yang saya tak pernah jangka apa-apa daripada projek Melur Untuk Firdaus.
“Saya tahu ada yang suka dan pada masa sama, ada yang tak suka drama ini berlanjutan sampai ke musim kedua.
“Saya percaya, kita tak boleh puaskan hati semua orang apabila orang cakap cerita Melur Untuk Firdaus tak logik apa semua.
“Orang tetap akan kecam dan itu adalah fakta yang tak boleh dielakkan.
“Saya juga percaya, ada yang cakap cerita ini ‘cringey’ (memualkan) mungkin dari segi dialog dan hal lain. Nasihat saya, kalau tak suka, tak payah tengok.
“Kami buat cerita ini rentetan daripada permintaan peminat musim pertama.Itu sebab mengapa Melur Untuk Firdaus sampai ke musim kedua,” getus Anna, 23.

Nak jadi psikopat
Acap kali terlibat dalam projek drama ‘cintan-cintun’ atau melodrama, pelakon yang mula membina nama menerusi program realiti, Dewi Remaja 2018/2019 berkata, dia sentiasa menginginkan sesuatu yang baharu dari segi karakter.
“Saya nak jadi psikopat! (ketawa). Saya nak sangat berlakon dalam projek lakonan bernuansakan thriller psikologi atau aksi.
“Itu memang impian saya sejak mula berkecimpung dalam dunia lakon beberapa tahun lalu.
“Saya tengok kejayaan diraih pelakon seperti Michelle Yeoh yang bermula dengan filem aksi sampai ke Oscar, perkara itu sangat memberi motivasi buat saya sebagai seorang anak seni,” ujarnya.
Ditanya tentang tawaran lakonan di Indonesia, Anna mengakui ada menerima panggilan ke sana, namun terpaksa dilupakan disebabkan kekangan jadual.
“Kalau saya boleh berlakon di seberang, itu adalah suatu perkara yang tak mustahil juga buat orang lain.
“Di Malaysia sebenarnya, banyak sangat bakat yang belum didedahkan.
“Untuk kita terus melangkah ke hadapan, kita perlukan pendedahan dan sokongan daripada banyak pihak. Syaratnya kena mulakan langkah sendiri juga.
“Sejujurnya, saya ada tawaran berlakon filem dan drama di Indonesia tapi disebabkan tengah sibuk dengan penggambaran Melur Untuk Firdaus, saya tak boleh beri komitmen kepada tawaran diberikan.

‘Friendzone’ Meerqeen
Melanjutkan bicara, anak tunggal dalam dalam keluarga itu memilih jawapan selamat apabila berbicara tentang hubungan bersama pelakon Meerqeen yang sudah berstatus cinta platonik atau mencapai tahap ‘friendzone’ dalam hidupnya.
“Kami berlakon sama dan projek itu menjadi fenomena dalam kalangan audiens. Tak mustahil orang akan terus bercakap (kami bercinta).
“Sekarang, saya cuma nak fokus kepada kerjaya. Soal cinta, kita tolak tepi dahulu. Saya sokong kerjaya Meerqeen dan dia juga berikan energi sama buat saya.
“Saya tak nafikan bahasa kami memang rapat dan sangat gembira dengan keberadaan masing-masing. Itu sahaja boleh saya kata,” tutup Anna.
















