fbpx

400 mangsa pelaburan skim saham babit kerugian RM56 juta diminta buat laporan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hishamuddin (duduk tiga dari kanan) dan pimpinan MHO bersama mangsa penipuan skim saham hari ini.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) menggesa 400 mangsa penipuan skim saham membabit kerugian RM56 juta tampil membuat laporan polis.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa takut membuat laporan selepas beberapa ejen dan pelabur dikenakan tindakan ditahan polis, disiasat selain akaun bank dan harta dibeku pihak berkuasa.

Katanya, syarikat yang didalangi oleh seorang yang bergelar Tan Sri palsu itu menjanjikan dividen sehingga empat peratus hingga ramai mula melaburkan duit serendah RM300,000 pada awal 2021 dengan pulangan dalam tempoh kontrak yang ditetapkan.

“Syarikat pelaburan itu gagal membayar dividen pada Disember 2021, sehingga kini menyebabkan beberapa ejen dan pelabur membuat laporan polis pada tahun lalu.

“Bagaimanapun, mereka ditahan polis sehingga menyebabkan mangsa lain yang tertipu takut untuk melaporkan kepada pihak polis,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambahnya, sebanyak 140 aduan diterima pihaknya berhubung pelaburan yang ditawarkan syarikat tersebut.

Ujarnya, mangsa yang tidak membuat laporan polis juga adalah merupakan satu kesalahan dibawah Seksyen 202 Kanun Kesksaan.

Sementara itu, seorang suri rumah yang mahu dikenali sebagai Siti, 47, mengalami kerugian kira-kira RM230,000 apabila wang peninggalan arwah suaminya dalam pelaburan yang disertai pada 2021 lalu.

“Saya telah membuat laporan polis tahun lalu namun kes saya tidak didakwa sehinggakan saya buntu.

“Pada awal bulan ini saya telah membuat laporan kedua dan diharapkan pihak polis mengambil tindakan,” ujarnya.

Bagi mangsa lain, Azian, 43, berkata, dia hanya membuat laporan pada bulan lalu selepas mendapat nasihat daripada MHO untuk berbuat demikian.

“Ada yang kata banyak aset kena beku jadi saya takut untuk buat laporan polis, tetapi saya bila ada pertemuan bersama MHO dengan penjelasan mereka saya jadi lebih yakin dan ingin menegakkan keadilan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI