fbpx

Sindiket dadah antarabangsa tumpas, syabu RM6.058 juta dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shuhaily (tengah) pada sidang akhbar tangkapan dan rampasan syabu bernilai RM6 juta di Dewan Serbaguna Polis Marin Wilayah Satu, Batu Uban hari ini. -Foto oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang berjaya membongkarkan satu sindiket penyeludupan dadah antarabangsa selepas menahan lima lelaki warga asing serta seorang warga tempatan dalam lima serbuan berasingan di sekitar Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Dalam operasi bermula Rabu hingga semalam, polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 183.6 kilogram dengan nilai RM6.058 juta.

Kesemua suspek yang ditahan berusia 21 hingga 45 tahun itu bekerja sebagai peniaga, buruh binaan serta penganggur dan mereka dipercayai terlibat aktif mengedar dadah sejak pertengahan tahun 2022.

Difahamkan, kesemua dadah tersebut diambil menggunakan jalan darat dari Kuala Lumpur dan kemudian akan dibawa ke Indonesia dengan menggunakan jalan laut dari Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan pasukan Polis Marin Wilayah Satu telah melancarkan operasi terancang berkaitan maklumat aktiviti pengedaran dadah jenis syabu di negeri ini.

”Dalam operasi ini, polis telah menahan suspek pertama iaitu seorang lelaki warga asing di AutoCity, Juru pada Rabu lalu, kira-kira pukul 6 petang.

”Polis kemudian menemui lima bongkah plastik berwarna hitam mengandungi 178 bungkusan berisi dadah jenis syabu dengan anggaran berat 183.6 kilogram yang disimpan di dalam kereta jenis Honda CRV yang dipandu lelaki ini. Kesemua dadah ini bernilai RM6.058 juta,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, suspek lelaki itu dipercayai mengambil bekalan dadah di Kuala Lumpur dan dadah-dadah berkenaan kemudian akan dibawa ke negara jiran dengan menggunakan bot menerusi jalan laut.

”Menerusi tangkapan pertama ini, polis berjaya mendapatkan maklumat yang menjurus kepada penahanan suspek-suspek lain di sekitar Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

”Suspek lelaki tempatan berusia 40 tahun ditahan kira-kira pukul 4 pagi semalam di sebuah rumah di Bukit Bintang dan di sini polis merampas wang tunai berjumlah RM500,000 serta menyita beberapa buah kenderaan mewah milik lelaki ini antaranya kereta jenis Porsche, Mercedes Benz, Toyota Alphard dan lain-lain,” katanya.

Tambahnya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh digunakan seramai sembilan juta orang atau sembilan juta kali penggunaan.

”Hasil ujian saringan air kencing ke atas enam tangkapan ini adalah negatif dadah dan semakan rekod lampau mendapat dua tangkapan mempunyai rekod pelbagai kesalahan dadah dan jenayah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI