fbpx
SULAMAN linangkit bukan sahaja berfungsi menghiasi pakaian asas serba hitam, malah mampu bertindak sebagai penyambung kepada dua helai kain yang dicantumkan.

Sulaman warisan khazanah Dusun Lotud kian dilupakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SENI sulaman linangkit merupakan teknik simpul kait bercorak simetri dan berwarna-warni yang dibuat menggunakan jarum serta benang.

Suatu ketika dahulu, aktiviti menjahit sulaman linangkit dilakukan wanita Dusun Lotud pada waktu lapang bagi memenuhi keperluan harian komuniti mereka.

Simpul kait linangkit tersebut boleh dilihat pada pakaian tradisional wanita dan lelaki Dusun Lotud.

Sulaman itu bukan sahaja berfungsi menghiasi pakaian asas serba hitam, malah bertindak sebagai penyambung kepada jahitan dua helai kain yang dicantumkan.

Namun, perubahan zaman menyebabkan pakaian tradisional Dusun Lotud bukan lagi menjadi pakaian harian bagi masyarakat yang tinggal di sekitar Tuaran, Sabah tersebut.

Ini menyebabkan aktiviti sulaman linangkit sudah semakin kurang dilakukan generasi baharu dan berpotensi pupus sekiranya tiada usaha dibuat bagi mengekalkan tradisi turun-temurun itu.

Naratif itu tidak asing buat Adiguru Kraf bagi sulaman linangkit, Emis @Emmilianah Dahun, 47, yang pada mulanya tidak meminati aktiviti sulaman tersebut, biarpun ia merupakan amalan harian mendiang ibu dan neneknya.

Ujar Emis, pandangannya berubah setelah mendiang ibunya, Malah Alus dilantik oleh Kraftangan Malaysia menjadi tenaga pengajar bagi aktiviti sulaman linangkit bersama komuniti.

“Sewaktu kecil dahulu, saya tidak minat melakukan aktiviti ini. Bahkan, ibu tidak mendedahkan tentang sulaman linangkit kepada saya.

“Sekitar tahun 2007, pihak Kraftangan Malaysia melantik ibu saya menjadi tenaga pengajar bagi komuniti kami dan dia perlu mencari lima peserta.

“Melihat kepada situasi tersebut, saya menawar diri menjadi salah seorang peserta untuk membantu ibu. Dari situ, minat saya mula timbul.

“Ketika itu saya berusia 31 tahun. Siapa sangka, 15 tahun kemudian, saya dilantik menjadi Adiguru Kraf pada 2022,” katanya kepada K2.

EMIS (kiri) mengajar salah seorang pelajar yang berminat untuk mendalami seni sulaman linangkit.

Linangkit digunakan untuk menghiasi bahagian kiri skirt paras lutut wanita yang dipanggil gonob dan ikat pinggang tradisional yang dikenali sebagai kuwulu.

Bagi pakaian lelaki pula, linangkit menghiasi bahagian belakang seluar panjang yang dikenali sebagai binandus.

Menyentuh berkenaan pola corak, Emis menjelaskan bahawa corak linangkit bercirikan rupa bentuk geometri yang didominasi dengan bentuk segi tiga dan segi empat.

Penggunaan warna-warna terang seperti merah, jingga, kuning, hitam, hijau dan putih dicipta untuk mengisi setiap bentuk geometri yang dibentuk sehingga menjadi pelbagai corak.

“Antara corak pada sulam linangkit adalah piniutu (bercantum), linodi (bersambung), nabur-abur (bertabur atau berselerak), olinsong sadur (biji tembikai), kinuyung-kuyung (berombak), subor (hiasan tambahan) dan piniating (berulang).

“Corak disulam secara berulang sehingga membentuk pola. Susunan warna dalam corak bergantung pada rasa estetik penyulam itu sendiri,” ujarnya.

Bagi setiap tempahan persalinan lengkap pakaian wanita, Emis memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan untuk menyiapkannya.

Anggaran harga tempahan bagi persalinan lengkap wanita untuk perkahwinan atau Pesta Kaamatan yang diambil oleh Emis adalah sekitar RM3,000 hingga RM5,000 setiap satu.

Dalam usaha memastikan tradisi turun-temurun tidak hilang ditelan zaman, Emis telah membuka kelas sulaman linangkit di rumahnya.

Kelas yang berlangsung selama sehari suntuk untuk sulaman asas itu dihadkan kepada 10 orang pelajar dengan dibekalkan makanan tengah hari.

Demi mendapatkan tunjuk ajar Adiguru Emis, Rayah Jaini, 43, sanggup menempuh perjalanan hampir tiga jam dari Keningau ke Tuaran.

Wanita yang bekerja sebagai tukang jahit itu sudah lama meminati seni linangkit sejak mengetahui moyangnya juga pernah mahir membuatkan sulaman tersebut.

Rayah belajar secara bersemuka selama dua hari bersama Emis, sebelum menyambung sesi pembelajaran menerusi video dan WhatsApp.

“Suku kaum saya iaitu Murut Nabai memiliki corak linangkit tersendiri.

“Ibu saya pernah menceritakan tentang kehebatan moyang saya menyulam, malangnya, tiada ahli keluarga saya yang mewarisi.

“Sebagai generasi ketiga selepas moyang, saya harus belajar teknik menyulam agar tidak pupus begitu sahaja.

“Kini saya telah mahir. Saya akan turunkan ilmu sulaman linangkit kepada sesiapa yang berminat untuk belajar seni ini,” katanya yang telah melepasi empat tahap diperlukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN