fbpx

Dewan Negara: KPT kemuka semula permohonan program MyBrain15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Yusof.

PETALING JAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan mengemukakan semula permohonan program MyBrain15 di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bagi membantu calon-calon daripada pelbagai bidang yang tidak tertakluk kepada syarat sains tulen sahaja.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Muhammad Yusof Apdal memaklumkan, KPT telah mengemukakan permohonan peruntukan untuk melaksanakan program MyBrain15 di bawah RMK-12 2021-2025 tetapi permohonan tersebut tidak diluluskan.

“KPT telah melaksanakan dua program iaitu MyBrain 15 dan MyBrain Sains, program MyBrain15 yang terbuka kepada pelbagai bidang pengajian di peringkat sarjana dan PhD telah dilaksanakan bermula 1 Disember 2010 di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 dan seterusnya di bawah Rancangan Malaysia Ke-11.

“Program MyBrain Sains pula dilaksanakan pada tahun 2012, dengan penajaan di peringkat ijazah pertama sehingga pasca siswazah dalam bidang sains tulen sahaja dan program ini masih dilaksanakan sehingga kini,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr. Wan Martina Wan Yusoff yang meminta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan apakah kerajaan berhasrat untuk membuka semula permohonan MyBrain kepada calon-calon daripada pelbagai bidang yang tidak tertakluk kepada syarat sekarang iaitu sains tulen sahaja.

Dalam pada itu, Muhamma Yusof memaklumkan, seramai 3,886 pelajar dibawah tajaan MyBrain didapati gagal dalam pengajian mereka dan akan dikenakan tuntutan ganti rugi.

“Pelajar tajaan MyBrain dalam peringkat awal pengajian mereka dikehendaki menandatangani perjanjian penajaan antara kerajaan dan pelajar.

“Oleh itu, apabila pelajar didapati gagal, pengajian mereka akan dikenakan tuntutan ganti rugi berdasarkan kos sebenar yang dikeluarkan oleh kerajaan sepanjang pengajian,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan juga memanfaatkan penyelidikan yang dibuat oleh siswazah MyBrain dalam pelbagai bentuk seperti input kepada pembangunan polisi yang lebih baik dalam bidang berkaitan, penemuan ilmu baharu yang mengukuhkan pengetahuan sedia ada dan produk baharu yang berpeluang dikomersialkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI