fbpx

4 beradik maut: Ibu mangsa keluar cari makanan berbuka puasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IBU dan bapa mangsa (tengah) kelihatan sugul ketika menunggu jenazah anak mereka di Hospital Muar, Muar pagi hari ini.

MUAR – Hajat seorang ibu yang meninggalkan kesemua anaknya di kediaman demi keluar mencari kelengkapan berbuka puasa berakhir tragedi apabila empat beradik itu ditemui meninggal dunia, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.49 malam, mangsa berusia antara lapan hingga tiga tahun terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan itu maut selepas kediaman dihuni terbakar, di Kampung Sabar Awor, Jalan Ismail, di sini.

Menurut beliau, pasangan adik beradik dikenali sebagai Puteri Aisyah Tenko To, 8, Mohd. Hakim, 6, Mustakim, 4 dan Fatihah Aisyah, 3 ditemui dalam bilik air di bahagian dapur.

Katanya, ketika kejadian, ibu mangsa berusia 31 tahun terpaksa keluar sebentar untuk ke kedai manakala bapanya yang berusia 30 tahun sedang bekerja di sebuah restoran di sekitar bandar, di sini.

“Maklumat awal oleh ibu mangsa mengatakan keempat-empat anaknya ditinggalkan sementara di rumah dalam keadaan pintu bahagian dapur tidak berkunci.

“Bagaimanapun kita percaya keadaan api marak menyebabkan empat beradik ini gagal mencari jalan keluar sebelum kesemua mayat dijumpai di dalam tandas dipercayai bagi tujuan menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, ibu mangsa yang baru keluar selama 10 minit mengetahui mengenai kebakaran itu selepas dihubungi jiran.

“Kebakaran yang bermula dari bahagian dapur dipercayai berpunca akibat litar pintas, namun ia masih dalam siasatan lanjut pihak bomba. Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan kes disiasat sebagai mati mengejut,” katanya.

Ujar Raiz Mukhliz, bomba mengambil masa lima minit bagi mengawal kebakaran yang telah merebak sehingga 70 peratus.

“Pemadaman berjaya dilakukan beberapa minit kemudian dengan kemusnahan sebanyak 80 peratus,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI