fbpx

TPM sahkan peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD ZAHID (lima dari kanan) diiring Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (enam dari kanan) menyampaikan replika cek sumbangan kepada Masjid Jamek Gugusan Felda Mempaga pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Masjid Al-Falah Kampung Lebu di Bentong hari ini.

BENTONG – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sekali gus mengesahkan spekulasi pertukaran tampuk kepimpinan negeri Melaka.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, beliau telah bertemu dengan Sulaiman semalam dan beliau menyerahkan kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam bagi memilih calon yang sesuai.

“Saya ingin mengesahkan bahawa saya telah menerima surat peletakan jawatan daripada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Sulaiman Md Ali Ketua Menteri Melaka.

“Saya akan menghadap Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam untuk mempersembahkan nama calon bersesuaian bagi pelantikan Ketua Menteri yang baharu,”katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Masjid Al-Falah Kampung Lebu di sini hari ini.

Spekulasi peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka yang Ke-13 itu bertiup kencang sejak semalam menyaksikan bakal berlaku perubahan tampuk kepimpinan negeri Melaka.

Berdasarkan spekulasi mendakwa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu.

Menurut Ahmad Zahid beliau menyerahkan kepada kebijaksaan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam menentukan masa sesuai untuk menerima watikah dan juga majlis angkat sumpah.

Dalam pada itu mengenai calon disenarai pendek beliau berkata perkara itu hanya akan dipersembahkan kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Ditanya mengenai sama ada Ab. Rauf disenarai sebagai calon Ketua Menteri beliau enggan mengesahkan atau menafikan perkara itu.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI