SEPANG – Polis sudah mengenalpasti saksi utama yang terbabit dalam kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal dalam kejadian di Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE), petang Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, saksi utama itu yang juga penunggang motosikal dikatakan bergesel terlebih dahulu dengan mangsa ketika kejadian itu.
Beliau berkata, pihaknya mengesahkan bahawa saksi berkenaan adalah seorang lelaki warga Indonesia.
“Saksi itu diminta tampil memberi keterangan memandangkan dia terus beredar dari lokasi kejadian sejurus kemalangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati, cukai jalan dan insuran motosikal ditunggang saksi utama itu masih sah.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang penjawat awam, 46, maut selepas motosikal jenis Honda Wave 100 dengan nombor pendaftaran WC7152R ditunggangnya terbabas selepas bergesel dengan sebuah motosikal lain di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), petang Isnin lalu. – KOSMO! ONLINE