fbpx

Polis tahan 3 lelaki sebabkan kematian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BATU PAHAT – Polis menahan tiga lelaki warga tempatan disyaki terlibat dengan kemalangan sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki lain dalam kejadian di Jalan Parit Jalil di sini Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, dua suspek ditahan pada pukul 3.30 petang di Balai Polis Tongkang Pecahdan seorang diberkas di rumahnya selain masing-masing berusia 31, 39 dan 49 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa pemandu kereta Mazda CX3 dan rakannya mengekori sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu dari arah Tongkang Pechah ke Parit Sulong.

“Sampai di tempat kejadian pemandu Proton Wira dipercayai membrek secara mengejut menyebabkan Mazda CX3 gagal dikawal lalu terlanggar bahagian belakang Proton Wira.

“Ekoran pelanggaran tersebut Proton Wira telah terpusing masuk ke laluan sebelah kanan dan pada masa yang sama datang kereta Perodua Axia yang dipandu lelaki 42 tahun dan seorang penumpang perempuan 43 tahun dari arah bertentangan dan melanggar bahagian kiri Proton Wira.

“Akibat daripada pelanggaran tersebut penumpang Proton Wira meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu Proton Wira, pemandu dan penumpang Axia mengalami cedera ringan dan dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala pemandu dan penumpang Mazda CX3 tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Ismail lagi, hasil soal siasat pemandu Mazda CX3 mendakwa semasa berada di kilang plastik, Bandar Putera Indah, Tongkang Pechah telah ternampak lelaki tidak dikenali mencuri telefon bimbit jenis Oppo miliknya yang diletakkan di sebuah lori kemudian melarikannya.

Katanya, pemandu Mazda berkenaan dan rakannya mengejar sehingga 12 kilometer sebelum berlaku kemalangan.

“Berdasarkan siasatan lanjut pada semalam (28 Mac) polis telah membuat tangkapan, di mana dua daripadanya menyerah diri di balai dan seorang lagi di kediamannya di Tongkang Pechah,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI