fbpx
Boeing 737 MAX antara pesawat kecil yang mampu terbang jauh.

Pesawat kecil untuk penerbangan jarak jauh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENERBANGAN jarak jauh sinonim dengan pesawat berbadan besar dan lebar (wide-body) iaitu pesawat dua lorong yang boleh menempatkan sehingga 10 tempat duduk dalam setiap baris.

Ia sememangnya berbeza dengan pesawat kecil atau sempit (narrow-body) yang hanya mempunyai satu lorong, sehingga enam tempat duduk setiap baris dan secara amnya, kurang ruang serta keselesaan.

Namun, sebelum pesawat besar digunakan secara meluas untuk penerbangan jarak jauh, bermula dengan Boeing 747 yang membawa penumpang pada tahun 1970, pesawat kecil telah terlebih dahulu dianggap standard untuk perjalanan udara jarak jauh, walaupun takrifan ‘jarak jauh’ mereka tidak seperti hari ini.

Pada masa itu, pesawat lebar dan besar Boeing 747 dianggap telah mengubah pelbagai kemungkinan penerbangan dan lebih banyak perjalanan jarak jauh tanpa henti ke lokasi-lokasi di seluruh dunia diperkenalkan. Kemunculan 747 kemudian diikuti oleh pesawat-pesawat besar lain seperti Boeing 767 dan 777.

Pesawat kecil Boeing 757 pada 1983 dipercayai merupakan pesawat kecil era moden pertama bersifat long-haul flight.

Pun begitu, mutakhir ini iaitu sejak kira-kira 10 tahun lalu, pesawat kecil mula menunjukkan kebangkitan apabila semakin dilengkapi keupayaan terbang lebih jauh dan masa lebih panjang.

Bahkan, menurut samchui.com, kini penerbangan paling jauh dicatatkan pesawat kecil adalah oleh SAS Scandinavian Airlines menerusi pesawat Airbus A321neo yang mampu terbang dari Copenhagen, Denmark terus ke Washington, AS sejauh 6,556 kilometer (km) selama 9 jam 30 minit.

Syarikat penerbangan, Batik Air dari Melbourne, Australia ke Kuala Lumpur menerusi pesawat Boeing 737 MAX 8 turut tersenarai di kedudukan kelima terjauh iaitu sejauh 6,303km selama 8 jam 35 minit.

Aviation Week Network membayangkan pesawat kecil ialah pesawat masa depan apabila menjangkakan 70 peratus daripada pesawat-pesawat yang digunakan di rantau Asia Pasifik adalah pesawat kecil pada 10 tahun akan datang.

Pengarah urusan Aviation Week Network, Paul Burton turut menjangkakan permintaan Malaysia terhadap pesawat kecil juga akan meningkat.

Kepada CNN, pengarah urusan Orson Associate, Ben Orsons pula memberitahu, pesawat kecil atau satu lorong mempunyai lebih manfaat kepada industri penerbangan.

“Jelas bahawa pesawat satu lorong generasi baharu telah diberikan penambahbaikan ketara dari segi berat, faktor keselesaan persekitaran, tekanan, kabin, pencahayaan dan sebagainya.

“Itu sudah tentu senarai panjang dan teknikal, tetapi semuanya bermakna lebih banyak ruang dan kemudahan untuk penumpang,” katanya.

Tambahnya lagi, terdapat tiga kapal terbang generasi terbaharu yang merupakan pesawat berbadan kecil dengan enjin hebat terkini iaitu Airbus A220, Boeing 737 MAX dan Airbus A321XLR, ahli terbaharu keluarga A321neo.

Pesawat berbadan kecil atau sempit (narrow-body) adalah merujuk kepada pesawat satu lorong.

Airbus A321XLR boleh terbang jauh, malah boleh mencapai sehingga 4,700 batu nautika untuk penerbangan dari Florida, AS ke UK, atau dari Beijing, China ke Perancis.

Penggunaan pesawat ini mengembalikan kenangan zaman jet pada tahun 1958, apabila pesawat-pesawat terbang merentasi lautan, mendarat untuk mengisi minyak setiap empat atau lima jam.

Menurut ketua pemasaran lorong tunggal Airbus, Antonio Da Costa, pesawat kecil dengan satu lorong akan memberikan dunia baharu dalam industri penerbangan jarak jauh.

“Pesawat kecil juga dapat memberikan semua ciri keselesaan untuk kabin jarak jauh.

“Selain menawarkan penerbangan terus ke destinasi akhir penumpang, kabin seperti Airspace baharu A321XLR adalah lebih senyap dan menampilkan reka bentuk lapang baharu dan ruang simpanan dalam kabin yang lebih besar,” katanya.

Pada zaman penumpang menaiki pesawat kecil era zaman dahulu seperti Boeing 707, keselesaan dan tempat duduk pesawat bergantung kepada rekaan syarikat penerbangan.

Pada asasnya rekaan tersebut kekal hingga hari ini melainkan untuk pesawat A321 atau 737 MAX khusus untuk penerbangan jarak jauh.

Jika dahulu, tempat duduk jauh lebih tebal dan agak lebih empuk berbanding sekarang, tetapi kejuruteraan reka bentuk perindustrian moden sedang berusaha keras menambah baik tempat duduk hari ini.

Ketua Eksekutif Recaro Aircraft Seating, Mark Hiller memberitahu, pengalaman tempat duduk penumpang pesawat kecil boleh berada pada tahap yang sama seperti pada mana-mana pesawat besar.

“Saiz fiuslaj yang diberikan membolehkan susun atur tempat duduk yang lebih luas berbanding dengan jenis pesawat lain dan penyelesaian tempat duduk kami menambahbaikkan lagi perkara ini,” katanya.

Fiuslaj Airbus A321 juga agak lebih besar yang bermaksud tempat duduknya boleh menjadi lebih lebar dan luas buat penumpang.

Pada asasnya, pada tahun 1950-an dan 1960-an pesawat kecil digunakan dengan meluas, seterusnya 1970-an dan 1980-an, pesawat besar menggantikan pesawat kecil untuk penerbangan jauh.

Apa yang pasti, bukanlah suatu yang mustahil untuk menggunakan pesawat lebih kecil bagi penerbangan jarak jauh kerana hal itu sudahpun dilaksanakan sebelum kapal terbang berbadan besar wujud dalam industri penerbangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN