fbpx

Dua ditahan, seorang diburu pukul pemandu treler

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar suspek yang sedang diburu pihak polis

KLANG – Polis berjaya menahan dua lelaki yang terlibat memukul seorang pemandu treler dalam kemalangan maut mengorbankan seorang murid perempuan di Kampung Telok Gong, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, penahanan kedua-dua suspek berusia 38 tahun susulan laporan dibuat pemandu treler berusia 36 tahun itu pada Khamis lalu.

Katanya, hasil semakan mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.

“Kita juga telah mengenalpasti seorang lagi suspek dikenali Muhammad Putra Abdullah, 31, yang juga dipercayai terlibat dalam kes ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek dan kejadian ini diminta untuk menyalurkannya terus kepada Ibu Pejabat Polis Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan usaha mengesan dan menangkap suspek-suspek lain yang terlibat dalam kes itu sedang giat dilakukan polis.

Tambah Hoong Fong, seramai enam orang saksi telah dipanggil untuk membantu siasatan berhubung insiden pukul itu.

“Kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 / 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan rusuhan serta mendatangkan kecederaan dan kesalahan khianat terhadap harta benda,” ujarnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan sekumpulan lelaki bertindak memukul pemandu treler dan memecahkan cermin depan jentera berat itu selepas terbabit dalam kemalangan mengakibatkan murid perempuan berusia sembilan tahun maut di Kampung Telok Gong di sini, 22 Mac lalu.

Ini menyebabkan pemandu itu cedera di pipi kanan, lebam mata serta sakit di seluruh anggota badan dan dibawa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI