fbpx

ATM terima 50 ambulans domestik baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad (tiga dari kiri) bergambar bersama barisam kepimpinan ATM pada Majlis Simbolik Penyerahan 50 Buah Ambulans Domestik Perkhidmatan Kesihatan ATM di Padang Kawad Kem Kementah, hari ini. - Foto oleh AMIR KHALID/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Sebanyak 50 buah ambulans domestik jenis B bagi kegunaan perkhidmatan kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diserahkan hari ini bagi menggantikan kenderaan sedia ada yang telah usang dan rosak.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penambahbaikan ambulans domestik itu merupakan satu pelan jangka panjang kerajaan dalam meningkatkan kesiapsiagaan ATM dengan penyediaan aset dan kelengkapan seperti yang dinyatakan dalam Kertas Putih Pertahanan di bawah strategi Angkatan Masa Hadapan.

Katanya, ia juga bertujuan memperkasakan aspek kebajikan warga kerja pertahanan dengan penyediaan fasiliti perubatan yang terbaik.

“Kementerian Pertahanan (Kementah) sentiasa peka dengan keperluan warga ATM berdasarkan teras kebajikan yang telah digariskan bagi menjaga kebajikan warga ATM termasuk awam Kementah melalui peningkatan penyampaian kualiti perkhidmatan kesihatan.

“Ambulans baharu ini amat diperlukan pihak perubatan ATM bagi menggantikan ambulans yang sudah uzur dan tidak boleh guna,” katanya ketika berucap di Majlis Simbolik Penyerahan 50 Buah Ambulans Domestik Perkhidmatan Kesihatan ATM di Padang Kawad Kem Kementah, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, secara keseluruhan bahagian perubatan ATM memerlukan 130 buah ambulans domestik yang baharu tetapi untuk fasa pertama hanya memesan 50 buah.

“Selebihnya kita akan buat secara berperingkat apabila kewangan negara lebih stabil.

“50 buah yang sampai hari ini adalah tepat pada masanya dan sama seperti mana kita pesan, kita pesan 50, dan hari ini serahan secara simbolik dilakukan kepada panglima perkhidmatan untuk dihantarkan ke tempat masing-masing,” ujarnya.

Tambahnya, ambulans adalah satu elemen penting untuk memastikan mutu perkhidmatan kesihatan ATM dapat terus dipertingkatkan dengan mengutamakan hal ehwal anggota serta kebajikan mereka.

Bagaimanapun, Mohamad memberitahu, pihaknya sentiasa terbuka sekiranya perkhidmatan ambulans berkenaan diperlukan oleh pihak luar bagi kegunaan kecemasan.

“Kita tak keberatan nak beri perkhidmatan kecemasan kepada mereka yang memerlukan, mana ambulans dah usang dan tak boleh guna, kita akan lupuskan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI