fbpx
DR. ZANARIAH percaya perubahan gaya hidup dapat membantu mengawal paras gula dalam darah.

Program DLP kawal diabetes menerusi gaya hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENYEDARI bahawa ahli keluarganya mempunyai sejarah penyakit diabetes, ia membuatkan Faizal Ramli risau akan keadaan kesihatan dirinya.

Pemuda berusia 33 tahun itu mengetahui bahawa diabetes boleh diwarisi disebabkan faktor genetik keluarga.

Malah, dia berharap tidak akan berhadapan dengan masalah tersebut pada usia masih muda.

“Siapa kita untuk menolak takdir Tuhan dan saya sendiri tidak terlepas daripada berhadapan masalah itu apabila disahkan menghidap diabetes.

“Sebelum ini, saya tiada masalah berkenaan sehinggalah dijangkiti Covid-19 pada tahap empat dan perlu menggunakan alat bantuan pernafasan,” katanya membuka bicara.

Tambahnya, selepas pulih daripada Covid-19, dia terus disahkan menghidap diabetes.

Kini, Faizal harus mendapatkan suntikan insulin bagi mengawal masalah tersebut.

BEBERAPA persatuan perubatan dan kesihatan telah memeterai MoU untuk melaksanakan program DLP.

Selain rawatan, amalan gaya hidup dan pengurusan diabetes yang betul amat penting untuk seseorang pesakit yang sedang berhadapan dengan masalah diabetes.

Oleh demikian, Program Gaya Hidup Diabetes (DLP) telah dilancarkan baru-baru ini bagi menerapkan intervensi gaya hidup bagi pengurusan diabetes.

Program itu bertujuan menambah baik hasil rawatan diabetes di samping mengurangkan beban terhadap pesakit, keluarga, sistem penjagaan kesihatan dan ekonomi.

Malah, beberapa persatuan perubatan dan kesihatan telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk program itu.

Menerusi MoU itu, ahli penjagaan kesihatan akan dilatih bagi membantu pesakit membuat perubahan gaya hidup sebagai asas pengurusan diabetes secara holistik.

Program itu juga menyediakan ahli penjagaan kesihatan dengan aplikasi berasaskan web yang merangkumi video berunsurkan pendidikan, aktiviti interaktif dan konsultasi pakar diet secara virtual.

Kemudian, ahli penjagaan kesihatan itu akan membimbing pesakit membuat perubahan gaya hidup seperti pengurusan diet, pemantauan gula dalam darah, aktiviti fizikal dan meningkatkan motivasi mereka.

Pengerusi Panel Pakar DLP, Datuk Dr. Zanariah Hussein berkata, intervensi gaya hidup merupakan ‘missing link’ atau jurang kepada ahli penjagaan kesihatan dan para pesakit dalam pengurusan diabetes.

PESAKIT diabetes digalakkan untuk melakukan ujian gula dalam darah secara kendiri. – Gambar hiasan

Menurutnya, diabetes adalah keadaan apabila gula dalam darah seseorang itu sentiasa tinggi.

“Gula yang tinggi secara berpanjangan boleh mengundang pelbagai komplikasi seperti serangan jantung, strok, kerosakan buah pinggang, buta, kerosakan saraf dan amputasi kaki.

“Sejak sekian lama, ahli penjagaan perubatan dan pesakit banyak bergantung kepada ubat-ubatan untuk mengawal paras gula darah tinggi,” katanya yang juga merupakan Pakar Perunding Kanan Endokrinologi di Hospital Putrajaya.

Tambahnya, tidak dinafikan, ubat adalah penting sekiranya diperlukan.

Namun demikian, sekiranya pesakit tidak membuat sebarang perubahan gaya hidup dan terus menjalani rutin tidak sihat, mereka mungkin memerlukan dos yang tinggi atau lebih banyak ubat-ubatan.

Dalam pada itu, kajian telah membuktikan perubahan gaya hidup turut memberi kesan positif.

Pengurusan diet, gaya hidup aktif, pemantauan gula dalam darah secara kendiri dan penurunan berat badan merupakan langkah asas bagi menguruskan diabetes.

Dr. Zanariah menjelaskan, kelestarian perubahan gaya hidup dan mengekalkan penurunan berat badan akan mengurangkan paras gula dalam darah, kolesterol, tekanan darah, serta jumlah ubat yang diperlukan.

Bagaimanapun, ramai ahli penjagaan kesihatan dan pesakit beranggapan intervensi gaya hidup dalam mengawal diabetes tidak penting.

AKTIVITI fizikal dapat membantu mengawal paras gula dalam darah. – Gambar hiasan

Oleh itu, DLP dibentuk secara khusus untuk ahli penjagaan kesihatan dan pesakit memahami kepentingan intervensi gaya hidup.

Justeru, objektif pertama DLP adalah melatih dan memperkasakan ahli penjagaan kesihatan untuk menjadi advokat atau pendukung gaya hidup diabetes.

Dr. Zanariah berkongsi, setakat ini, pihaknya telah melatih lebih 3,000 ahli penjagaan kesihatan daripada pelbagai bidang penjagaan diabetes seperti doktor perubatan, pendidik jururawat diabetes serta ahli dietitian dan farmasi.

Menurutnya, kira-kira 1,000 daripada mereka telah menjadi pendukung DLP dengan 74 peratus daripadanya bertugas di institusi kesihatan kerajaan.

“Objektif kedua kami adalah memperkasakan pesakit dengan pengetahuan, kemahiran, sikap dan kesedaran diri diperlukan,” katanya.

Penggunaan teknologi kesihatan digital akan memberikan mereka lebih banyak peluang baharu.

Kes diabetes telah meningkat secara mendadak dalam kalangan golongan dewasa muda di Malaysia. Jadi, aplikasi berasaskan web sangat serasi dengan kumpulan muda celik teknologi.

Sementara itu, Dr. Zanariah berkata, objektif ketiga DLP adalah untuk mempermudah pelaksanaan program berkenaan di semua institusi penjagaan kesihatan, khususnya di peringkat penjagaan primer.

Menurutnya, DLP telah memulakan satu projek rintis yang membabitkan 60 Pakar Perubatan Keluarga daripada lebih 50 klinik kesihatan.

Sebagai contoh untuk perubahan gaya hidup, pesakit boleh merancang saiz hidangan berdasarkan prinsip pinggan sihat atau ‘suku-suku separuh’.

Selain itu, pemilihan bijirin penuh dan makanan yang tinggi serat dapat membantu mengelakkan peningkatan gula dalam secara darah mendadak.

Dari aspek fizikal, lakukan kerja rumah atau berjalan pantas setiap hari bagi membolehkan insulin bertindak dengan lebih berkesan bagi mengekalkan paras gula dalam darah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN