fbpx

Anak belasah ibu, berang tak dapat duit RM20 beli dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video suspek membelasah ibunya di rumah mereka di Kampung Gual Jedok, Tanah Merah kelmarin.

TANAH MERAH – Berang tidak mendapat wang sebanyak RM20 untuk membeli dadah, seorang bekas tentera sanggup bertindak kejam dengan membelasah ibunya sehingga cedera dalam kejadian rumah mereka di Kampung Gual Jedok, di sini kelmarin.

Kejadian itu menyebabkan wanita yang berusia 65 tahun bengkak pada bahagian kepala, dahi, mata selain sakit-sakit badan selepas suspek yang merupakan penagih tegar menarik, memukul, memijak, menampar dan menyepak ibunya.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 5.08 petang kelmarin selepas abang mangsa yang berusia 37 tahun hadir ke balai membuat laporan.

Menurutnya, sebelum itu, lelaki itu menerima satu rakaman video daripada abang iparnya pada pukul 2.30 petang berhubung kejadian tersebut.

“Hasil siasatan awal mendapati, suspek yang berusia 32 tahun tinggal bersama ibunya di rumah berkenaan. Lelaki itu merupakan bekas anggota tentera yang telah dibuang kerja pada tahun 2013 dan merupakan seorang penagih dadah.

“Selain itu, suspek juga merupakan pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) mental daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Haki memberitahu, semasa kejadian, anak keempat daripada lima beradik itu bertindak menarik, menampar, menendang dan memijak kepala ibunya.

Menurutnya, kejadian itu dipercayai berpunca daripada tindakan suspek yang berang apabila ibunya tidak memberikan wang sebanyak RM20 untuk membeli dadah.

“Kejadian tersebut telah dirakam oleh anak saudara suspek yang tinggal bersebelahan dengan rumah mereka. Siasatan mendapati, suspek juga dipercayai sering mengamuk dan meminta wang daripada ibunya.

“Ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai dua rekod lampau berkait kes dadah,” katanya.

Tambah Mohd. Haki, suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan/18A Akta Keganasan Rumah Tangga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI