fbpx

11 warga asing berpesta dadah dalam kondo dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cheng San (kanan) ketika sidang akhbar tangkapan warga asing dan rampasan pelbagai jenis dadah di IPD Seberang Perai Tengah hari ini. -Foto oleh IQBAL HAMDAN/ KOSMO!

SEBERANG PERAI – Tindakan mencurigakan sekumpulan 11 warga asing yang disyaki sedang ‘berpesta’ di dalam sebuah kondominium di Bukit Tengah, Bukit Mertajam di sini, Khamis lalu akhirnya membawa kepada tangkapan serta rampasan beberapa jenis dadah.

Kesemua mereka terdiri daripada lima warga China termasuk seorang wanita serta enam wanita warga Vietnam yang masing-masing berusia antara 18 hingga 54 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, serbuan terhadap kumpulan warga asing itu dilakukan kira-kira pukul 12.30 malam selepas menerima aduan awam termasuk dalam kalangan jiran yang mencurigai perbuatan mereka.

“Ketika serbuan dibuat, polis menjumpai tiga bungkusan plastik berisi serbuk dipercayai dadah jenis MDMA (methylenedioxymethamphetamine) seberat 117 gram dengan nilai RM5,850.

“Turut dijumpai iadalah dua paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan dadah jenis ketamin seberat kira-kira 2.42 gram bernilai RM363 serta satu jag kaca berisi cecair disyaki dadah MDMA seberat 700ml (mililiter) yang bernilai RM500,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPD SPT) di sini hari ini.

Menurut Cheng San, ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek pula mendapati hanya dua daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

“Siasatan lanjut, rata-rata suspek yang ditahan itu tidak mempunyai pekerjaan tetap dan majoriti daripada mereka masuk ke negara ini dengan menggunakan visa pelancong.

“Ada juga dalam kalangan suspek yang dipercayai telah berkahwin dengan orang tempatan atau dibawa masuk ke negara ini melalui teman lelaki yang dipercayai warga tempatan sebagai perempuan simpanan,” ujarnya bagaimanapun, tidak ada sebarang tangkapan melibatkan warga tempatan dilakukan setakat ini.

Jelas beliau lagi, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua tangkapan direman selama tujuh hari sehingga Rabu ini.

“Ketika ini, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti sama ada suspek-suspek itu terlibat dengan kegiatan jenayah lain seperti sindiket penipuan atau ‘scam’ dan sebagainya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Cheng San berkata, sepanjang tahun ini sehingga Khamis lalu, pihaknya telah membuka sebanyak 628 kertas siasatan dan melakukan 967 tangkapan atas pelbagai kesalahan melibatkan dadah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI