fbpx

Nynaa Harizal seronok jadi ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELAIN sibuk menguruskan anak kecil, Nynaa kini bergelar usahawan produk penjagaan kecantikan.

HAMPIR dua tahun pelakon jelita Nynaa Harizal tidak muncul dalam kaca televisyen menghiasai dunia lakonan.

Bukan kerana merajuk sehingga mahu meletakkan titik noktah terhadap kerjaya tersebut, tetapi Nynaa memerlukan masa untuk kembali beraksi di hadapan kamera akibat beberapa kekangan yang dilaluinya.

Kata pemilik nama lengkap Nurul Hanynaa Harizal itu, dia perlu mengambil masa untuk kembali aktif dalam bidang lakonan kerana baru dua bulan menimang cahaya mata sulung.

Tambah Nynaa, dia sebenarnya mengakui rindu berlakon dan tidak sabar untuk turun ke set penggambaran jika sudah sampai masanya nanti.

“Selepas dua tahun ‘menghilang’, saya sebenarnya belum terfikir lagi untuk berhenti daripada bidang lakonan. Saya akan kembali apabila tiba waktunya nanti.

“Meskipun suami sebenarnya berharap saya akan lebih memberikan tumpuan kepada keluarga dan tidak lagi berlakon, saya akan pujuk dia nanti. Jadi jangan risau,” katanya sambil ketawa.

Ujar pelakon berusia 27 tahun itu, walaupun sudah dua tahun menyepi daripada dunia lakonan, namanya masih berada dalam senarai kehendak produser mahupun pengarah yang tetap menagih bakatnya.

Bersyukur kerana rezeki dalam dunia seni masih memihak padanya, pelakon berwajah ayu itu terpaksa menolak secara baik tawaran yang diberikan kerana mahu memberi tumpuan terhadap bayi perempuannya, Zara Ariyanaa yang kini berusia dua bulan.

“Alhamdulillah tawaran berlakon masih ada untuk drama dan filem. Tapi saya perlu berehat seketika kerana masih baru menimang cahaya mata sulung.

“Jadi saya perlukan masa berehat, selain anak juga masih terlalu kecil. Tapi yang pasti, saya tidak akan berhenti berlakon kerana masih punya jiwa dalam bidang tersebut,” ujarnya.

Bercakap tentang pengalaman bergelar seorang ibu, bekas peserta pertandingan Dewi Remaja 2019 itu menganggap bergelar seorang ibu merupakan suatu perkara yang mengubah kehidupannya.

Rasa seronok dan teruja menjadi seorang ibu melenyapkan rasa lelah Nynaa untuk membesarkan buah hati kesayangannya.

“Alhamdulillah, saya rasa seronok sebenarnya sebab setiap hari ada sahaja perkara menggembirakan terjadi apabila anak semakin membesar.

“Rasa seronok yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Saya percaya setiap ibu juga akan melalui perasaan yang sama seperti saya,” kata pelakon yang pernah membintangi drama Romantika 4 Hari 3 Malam itu.

Biarpun penat, namun Nynaa menikmati perasaan dan momen bergelar ibu. Dia juga gembira menguruskan anaknya walaupun ketika waktu tengah malam.

“Saya rasa seronok bila bayi bangun malam sebab lapar dan selepas diberi minum susu, dia akan tidur semula. Itupun sudah buat saya rasa sangat gembira,” ujarnya.

Lumrah sebagai seorang wanita, kecantikan memang tidak dapat dipisahkan dengan mereka.

Begitu juga dengan Nynaa apabila turut berdepan dengan masalah berat badan, selepas melahirkan cahaya mata sulungnya pada 29 Januari lalu.

Enggan menjadikan perkara itu sebagai satu masalah besar, Nynaa mengambil langkah pantas memulakan rutin diet dan menjaga pemakanan demi mengembalikan bentuk badan asal.

Lebih membuatkan wanita berketinggian 165 sentimeter itu mahu kembali kurus kerana dia kini menceburi bidang perniagaan dengan mengeluarkan produk Fire & Ice Lip Booster Serum.

“Saya juga mengalami penambahan berat badan. Ketika hamil berat saya mencecah sehingga 65 kilogram (kg). Tapi selepas amalkan diet, berat saya kini 53kg sahaja.

“Selain sibuk menguruskan anak, saya juga kini bergelar usahawan apabila mengeluarkan produk untuk penjagaan bibir, Fire & Ice Lip Booster.

“Saya ambil masa yang lama untuk keluarkan produk ini kerana memerlukan kajian yang mendalam bagi mendapatkan hasil berkualiti dan selamat sebelum dilancarkan dalam pasaran,” katanya menutup perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI