fbpx

Bahagia hidup double life

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hidup dengan ‘dua identiti’ menjadi pilihan Amira demi memenuhi hasrat keluarga dan diri. – GAMBAR HIASAN

“BUKAN mahu hipokrit, tetapi cara ini sahaja boleh puaskan hati setiap orang,” luah Amira (bukan nama sebenar) kepada Panorama sambil membetulkan uraian rambutnya yang berwarna blonde (perang).

Mengimbau kembali saat pertama kali menjejakkan kaki ke ibu kota, Amira mengakui dirinya dahulu seorang wanita bertudung labuh, berbaju longgar dan bermuka kusam.

Perubahan drastik yang dilakukannya bukan kerana kejutan budaya, tetapi kerana jiwanya sememangnya sudah lama memberontak mahukan kebebasan.

Justeru, setibanya dia di Kuala Lumpur, Amira tekad untuk menjadi ‘diri sendiri’ dengan mencipta persona baharu bernama Anastasia.

Anastasia merupakan seorang gadis kota yang sering bereksperimen dengan dunia fesyen dan menata rias muka dengan solekan yang galak.

Dari segi perwatakan diri, Anastasia lebih berkeyakinan dan menjadi ‘social butterfly’ dalam kalangan rakan-rakannya di Kuala Lumpur.

Ini sangat berbeza dengan karakter gadis kampung Amira yang pemalu dan banyak menyendiri ketika di kampung halaman.

Jelas Amira, pesona Anastasia dirahsiakan daripada keluarganya di kampung kerana dia yakin ibu bapanya yang berfikiran konservatif tidak akan mampu menerimanya.

“Saya bukan buat jahat atau sesuatu yang salah di sisi undang-undang. Saya sayang dan hormat ibu bapa saya.”

“Cuma saya tidak lagi mahu tersiksa kerana saya tidak dapat jadi diri sendiri. Sebagai Anastasia, saya happy and free!”

Apabila dirinya menjadi Anastasia, Amira akan mewarnakan rambutnya perang dan gemar bersosial. – GAMBAR HIASAN

“Lagipun di Kuala Lumpur, ada pelbagai jenis karakter dan boleh saling menerima antara satu sama lain. Tidak seperti di kampung yang kebanyakannya terikat dengan dogma,” jelasnya yang berasal dari Pantai Timur.

Demi memastikan rahsianya tidak terbongkar, Amira tidak memiliki sebarang media sosial dan dia juga putus hubungan dengan rakan-rakan lamanya.

Statusnya sebagai anak sulung juga dianggap sebagai satu kelebihan kerana adik-adiknya masih tidak berkeupayaan untuk ke Kuala Lumpur bagi menjenguknya.

Tambah Amira, dia sanggup singgah di kawasan rehat dan rawat (R&R) untuk mengubah penampilannya sebelum pulang ke kampung atau balik ke bandar.

“Lumrah kerja saya juga memerlukan saya selalu travel, jadi keluarga saya pun tidaklah menjenguk saya di KL ni. Saya pun pulang setahun sekali masa raya.

“Jadi saya tak kisah kalau perlu warnakan kembali rambut ke warna hitam setiap kali balik kampung,” kongsinya yang turut menjelaskan dia kerap menghubungi keluarganya melalui telefon.

Amira tidak tahu berapa lama dia mampu mengekalkan kehidupan double life, namun dia bahagia dengan cara itu setakat ini.

Sekiranya satu hari rahsia tentang dirinya terbongkar dan diketahui keluarga, Amira sedia menanggung akibatnya.

“Amira dan Anastasia sememangnya sangat berbeza. Mereka di kampung kalau terserempak pun pasti ingat pelanduk dua serupa.

“Jadi, saya malas nak memikirkan soal akibat. Yang penting, saya tak ganggu hidup sesiapa pun,” tegasnya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI