fbpx

[VIDEO] Suami isteri maut, anak cedera parah kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan Proton Exora yang remuk teruk dalam kemalangan maut melibatkan lima kenderaan di Kampung Selamat, Sungai Tong, Setiu hari ini.

SETIU – Sepasang suami isteri maut, manakala anak lelakinya cedera dalam kemalangan melibatkan lima buah kenderaan di Kampung Selamat, Sungai Tong di sini hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 1 tengah hari itu mengorbankan Faizul Azman, 44, dan isterinya, Habsah Ismail, 42, yang berasal dari Kuantan, Pahang.

Anak lelaki mereka, Muhammad Daniel Dzulkarnain, 13, yang turut menaiki kereta pelbagai guna, Proton Exora tersebut pula cedera parah pada bahagian muka.

Salah seorang saksi, Mazlan Abdul Ghani, 56, yang juga pengusaha kedai makan berkata, dia terdengar bunyi rempuhan kuat sebelum bergegas keluar dari premis perniagaannya.

Dia berkata, kemalangan yang turut melibatkan empat kenderaan lain iaitu kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara, Perodua Axia dan Toyota Wish itu berlaku hanya 20 meter dari kedai makannya.

“Saya lihat keadaan Proton Exora paling teruk dan orang ramai cuba membantu tiga beranak yang tersepit dalam kenderaan yang remuk itu tetapi gagal.

“Pemandu lelaki sudah meninggal dua manakala wanita di sebelahnya masih bernyawa dan merintih meminta pertolongan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin yang dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, mayat Faizul dan isterinya, Habsah telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Setiu di sini untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI