PETALING JAYA – Tempahan bagi kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah ibarat pisang goreng panas apabila lebih 100 kenderaan tersebut ‘licin’ disewa perantau untuk pulang ke kampung halaman menyambut Hari Raya Aidilfitri bulan depan.
Tempahan MPV dengan yang paling laris Toyota Vellfire dan Alphard ditempah pelanggan terutamanya daripada Pantai Timur sejak awal bulan lalu.
Pengarah Urusan AHMJ Luxury Car, Azamli Junuh, 37, berkata, kira-kira 100 MPV mewah miliknya telah disewa orang ramai antara dua hingga tujuh hari sempena Aidilfitri ini.
Katanya, golongan perantau yang rata-ratanya mempunyai keluarga besar ini tidak kisah berbelanja ribuan ringgit demi keselesaan, malah ada juga sekadar mahu bergaya pada hari lebaran.
Menurut Azamli, harga sewa harian MPV tersebut bermula RM750 sehingga RM950 bergantung kepada spesifikasi.
“Selain sewaan harian, kita juga turut menyediakan sewaan secara mingguan bermula harga RM6,500 untuk seminggu. Bagi pakej ini, kita menyediakan banyak ‘hadiah’ kepada penyewa.
“Antaranya, minyak penuh tangki untuk perjalanan sehala, isian topup untuk Touch ‘n Go serta duit raya. Selain itu kita turut menyediakan perkhidmatan trak tunda 24 jam sekiranya kenderaan mengalami kerosakan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Azamli berkata, kebanyakan mereka yang menyewa MPV tersebut adalah golongan perantau dari Pantai Timur.
“Rata-rata penyewa kita adalah terdiri daripada pelanggan yang ingin pulang ke Kelantan dan Terengganu termasuk juga Pahang. Malah, ada juga destinasi ke utara tanah air.
“Mereka ini daripada keluarga besar dan inginkan keselesaan pada musim perayaan kerana kebanyakan jalan menghala ke Pantai Timur dan Utara mengalami kesesakan yang teruk,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Dekmi Luxury Car Rental, Dekmi berkata, tempahan MPV untuk musim perayaan kali ini meningkat hampir sekali ganda berbanding tahun lalu.
Menurutnya, syarikatnya menyediakan lebih 30 buah buah MPV dan semuanya telah licin ditempah pelanggan.
“Ketika ini pun kami masih menerima banyak tempahan terutamanya mereka yang ingin mengadakan majlis raya nanti.
“Bagi memenuhi permintaan tersebut, kami terpaksa menyewa MPV tersebut dengan rakan kongsi lain ataupun individu yang mahu memberikan sewa kenderaan mereka pada musim perayaan,” ujarnya.

Beliau menambah, selain MPV, pihaknya turut menyediakan kenderaan seperti kereta sedan, ‘performance car’ dan supercar antaranya Ford Mustang, BMW, Ferrari, Lamborghini serta Nissan Skyline.
“Bagaimanapun, tempahan untuk supercar tahun ini tidak banyak berbanding tahun lalu.
Biasanya mereka yang menyewa supercar ini hanya untuk harian sahaja seperti artis atau selebriti mahupun pempengaruh untuk membuat content (kandungan) di laman sosial,” ujarnya.














