fbpx
FAZURA

Bosan skrip klise, Fazura buka produksi sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK menamatkan zaman bujang dan memiliki seorang cahaya mata penyeri hidup berumah tangga, Fazura dilihat memperlahankan karier lakonan yang menjadi rutin selama hampir dua dekad.

Sedar atau tidak, Fazura sebenarnya sudah tidak lagi berkecimpung dalam dunia lakonan setelah kali terakhir muncul di layar perak pada 2020 menerusi Dendam Pontianak.

Sepanjang empat tahun tidak bergiat aktif sebagai pelakon, si jelita itu fokus terhadap perniagaan fesyen, sementelah dia sendiri pernah belajar di Kolej Rekaan Fesyen.

Meskipun kurang aktif dalam lakonan, pemilik nama lengkap Nur Fazura Sharifuddin itu mengakui menerima banyak tawaran lakonan tetapi terpaksa ditolak menyedari tiada kelainan yang mahu dipersembahkan.

PEJAM celik, sudah empat tahun Fazura ‘berehat’ daripada dunia lakonan kerana fokus terhadap rumah tangga dan bisnes.

“Bukan mahu riak tetapi alhamdulillah banyak juga. Ketika dapat tawaran berlakon sebelum ini saya sangat teruja.

“Namun agak kecewa sikit kerana dapat skrip sama sahaja mengenai berebut lelaki.

“Disebabkan itu saya sudah lama tidak berlakon dan tercetusnya idea untuk bina produksi sendiri supaya boleh buat apa sahaja saya mahu,” kata wanita berusia 40 tahun itu.

Terpanggil menyatakan pendapatnya, pelantun lagu Sayangi Dirimu itu menyeru golongan penerbit agar keluar dari zon selesa, mencuba tema penceritaan yang lain daripada kebiasaan supaya dapat membuka minda penonton.

“Saya sangat berharap lebih ramai penerbit berani keluar dari zon selesa untuk menghasilkan cerita berbeza.

“Hal ini supaya dapat memberikan didikan kepada penonton untuk kembangkan lagi minda dan alihkan kepada perkara-perkara baharu.

“Kalau masih buat benda sama dari situlah tercetusnya isu penyondol inspirasi daripada jalan cerita sesebuah drama,” tuturnya.

JALAN cerita sama membuatkan Fazura menolak banyak tawaran lakonan yang datang sehingga mencetuskan idea membuka produksi sendiri.

Fazura turut meluahkan kekecewaaan dengan kebanyakan produksi Malaysia yang sering menghasilkan karya dengan jalan cerita yang hampir sama.

Hasil daripada pengamatan tersebut juga tercetusnya idea Fazura untuk membina produksi sendiri khas untuk mengangkat martabat wanita.

“Sedih sebenarnya dengan industri kita terlalu banyak cerita atau drama televisyen yang berulang-ulang.

“Setiap hari tengok drama yang sama dalam televisyen dan bagi saya bila lagi mahu angkat martabat wanita?

“Tiada pula cerita di mana dua lelaki berebut seorang wanita. Jadi, itu matlamat saya untuk memartabatkan kaum wanita menerusi Fazura Pictures,” ujarnya semasa majlis perasmian butik jenamanya di Sunway Putra Mall, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Fazura sempat memperkenalkan syarikat produksinya sendiri iaitu Fazura Pictures Sdn. Bhd. dan menyajikan tayangan dua filem pendek berjudul Adinda dan Kakak Kita Ke Jakarta.

Dua filem pendek tersebut juga merupakan video kempen yang dihasilkan pelakon filem Pisau Cukur itu sempena pelancaran koleksi baharu tudung jenamanya.

“Memang ada ramai yang bertanya-tanya saya tidak mahu berlakon lagikah dan ini sebahagian daripada ‘lepas geram’ juga.

“Filem pendek daripada produksi saya ini dijadikan sebagai platform melepaskan kerinduan untuk berlakon dan buat peminat yang sudah lama tidak melihat saya,” jelasnya.

MESKIPUN mempunyai produksi sendiri, Fazura terbuka bekerjasama dengan dengan rumah produksi lain ditawarkan skrip dan jalan cerita bukan klise.

Berkongsi lanjut mengenai produksi sendiri, Fazura tidak meletakkan syarat ketat buat pelakon yang ingin menonjolkan bakat.

Sebaliknya, dia sangat seronok dapat menjadikan Fazura Pictures sebagai platform untuk pelakon baharu yang ingin memperbaiki skil lakonan.

“Kami tidak selektif untuk memilih pelakon dan lebih terbuka kepada sesiapa sahaja.

“Kalau pelakon baharu pun kami terbuka untuk menerima kerana mungkin boleh bantu mereka dari segi lakonan.

“Bukan mahu kata saya hebat tetapi sejujurnya memang ingin beri peluang kerana kebanyakan pelakon baharu tidak dapat tunjuk ajar,” kata isteri kepada Fattah Amin itu.

Fazura bahkan meluahkan keterujaan jika ada individu yang benar-benar ingin mempelajari tentang lakonan dan bukan hanya menjual rupa untuk menjadi seorang pelakon.

“Apabila mahu berlakon kalau tiada bakat tidak mengapa asalkan ada kesungguhan untuk memperbaiki lakonan.

“Sekarang ada penyanyi yang ingin berlakon dan tahu mereka tiada bakat, tapi mereka rajin bertanya.

“Saya suka perkara tersebut. Mereka ada usaha ingin belajar kerana bukan setakat ada rupa,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN