SETIU – Ketika penduduk lain bergembira dan bebas menjalankan pelbagai aktiviti bagi memeriahkan bulan Ramadan, nasib berbeza pula dialami kira-kira 380 penduduk di Kampung Merbau Menyusut apabila penempatan mereka ‘diceroboh’ harimau belang sejak seminggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Merbau Menyusut, Mohd. Zamri Embong berkata, pihaknya yakin kelibat dua ekor Pak Belang yang dilihat penduduk sebelum ini masih bebas berkeliaran di kampung mereka.
“Ada penduduk mengadu terserempak dengan dua ekor harimau belang terbabit pada Sabtu lalu.
“Situasi ini menyebabkan kami jadi trauma dan takut untuk menjalani aktiviti harian terutama pada waktu malam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Kampung Merbau Menyusut terletak di kawasan pedalaman dan berada kira-kira 51 kilometer dari bandar raya Kuala Terengganu.
Kosmo! Jumaat lalu melaporkan, seramai 380 penduduk Kampung Merbau Menyusut hidup dalam ketakutan ekoran kemunculan dua harimau belang yang membunuh ternakan penduduk.

Mohd. Zamri menambah, walaupun harimau tersebut tidak memasuki penempatan penduduk, mereka tetap bimbang untuk keluar pada waktu malam terutama ketika mahu ke masjid bagi menunaikan solat sunat tarawih.
“Saya terpaksa memainkan peranan menyakinkan penduduk untuk tetap mengimarahkan masjid terutama pada bulan Ramadan ini.
“Takut memang takut, tetapi saya ingatkan mereka supaya tidak terlepas peluang menggandakan ibadah pada bulan yang berkat ini,” katanya.
Mohd. Zamri berkata, berdasarkan pemerhatiannya pada hari pertama solat tarawih kelmarin, kekurangan jemaah di masjid tidak begitu ketara.
Begitupun, beliau mengakui aktiviti penduduk kampung terganggu sejak kemunculan harimau belang berkenaan yang telah membaham sekurang-kurangnya tiga ekor lembu milik penduduk.
“Kebanyakan penduduk kampung tidak memasuki ladang kelapa sawit ekoran bimbang dengan ancaman haiwan liar terbabit sejak dua minggu lalu.
“Kami benar-benar berharap harimau belang terbabit dapat ditangkap Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) secepat mungkin,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya telah memasang perangkap bagi menangkap harimau belang berkenaan pada kelmarin.
Jelas beliau, perangkap berumpankan seekor kambing berkenaan telah dipasang lokasi strategik dipercayai laluan haiwan terbabit.














