fbpx

Godaan suami jiran cetus ilham Persekusi – Lirabica

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BUKAN sahaja melancarkan lagu berdasarkan pengalaman sebenar, Lira berharap Presekusi dapat menyebarkan mesej kesedaran terhadap golongan yang tertindas agar bangkit mencari keadilan buat diri sendiri. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

TIDAK mahu memendamkan bakatnya dalam nyanyian yang diceburi sejak kecil, penyanyi dari seberang, Indonesia iaitu Lirabica tampil meluncurkan single pertamanya berjudul Persekusi.

Meskipun turut aktif dalam gerakan sebuah parti politik terbesar di Indonesia, Lirabica selesa meneruskan karier nyanyian seiring minat mendalam.

Pada usia 38 tahun, Lirabica atau mesra disapa Lira juga tidak terkesan langkah seninya dianggap agak terlambat. Dia percaya pada rezeki.

Malah, Lira akan menggunakan lagunya sendiri semasa Pilihan Raya Umum Indonesia atau Pemilu 2024 memandangkan sudah tercalon untuk sama-sama bertanding mewakili Partai Golongan Karya (Golkar).

“Bagi saya tiada istilah terlambat. Setiap apa yang kita lakukan adalah proses pembelajaran dan saya juga tidak suka mensia-siakan waktu.

“Jadi dengan kesempatan saya ambil, maka terhasilnya Persekusi yang merupakan sebuah lagu pop diciptakan oleh anak kepada bintang veteran Rhoma Irama iaitu Ridho.

“Saya memilih muzik rancak kerana lagu ini bakal digunakan sewaktu berkempen semasa Pemilu nanti. Orang Indonesia suka bergoyang, jika saya menyanyikan lagu berentak balada tentunya kurang sesuai dimainkan untuk berkempen,” katanya semasa berkunjung ke Malaysia baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, penyanyi yang juga bekas model itu bercerita tentang idea terhasilnya Persekusi atau dalam bahasa Melayu membawa maksud pendakwaan.

Semuanya berpunca diinspirasikan daripada pengalaman hitamnya yang berlaku hampir dua tahun lalu.

Sebagai seorang wanita yang masih belum berkahwin, Lira mengakui sering diganggu golongan lelaki suami orang, terutama suami jiran-jirannya yang suka melihat dan mengganggu ketika bersenam di sekitar kawasan perumahan.

Akibatnya, Lira diserang oleh kaum isteri di kejiranan terbabit kerana dianggap menggoda suami mereka.

“Kes itu masih lagi berjalan di mahkamah, saya diserang kaum ibu di kawasan kediaman saya kerana tidak berpuas hati apabila suami mereka mengganggu saya, sedangkan saya tidak berbuat apa dan berpakaian sopan ketika beriadah.

“Mereka menghalau saya daripada tinggal di situ. Jadi saya membuat laporan polis dan membawa kes tersebut ke mahkamah bagi mengelak daripada terus mengganggu saya lagi,” luahnya geram.

Pengalaman pahit yang dialami tidak mematahkan semangatnya untuk terus bergerak dan menegakkan keadilan.

Daripada kejadian berkenaan, bekas finalis Miss Earth 2019 dapat mempelajari sesuatu dan memilih memberikan pengajaran buat orang ramai untuk lebih berani menegakkan keadilan sendiri.

“Dari pengalaman itu, maka terhasilnya lirik lagu Persekusi yang bukan saja ditujukan buat mereka yang mengganggu dan menyerang saya.

“Semoga lagu itu dapat menyuntik semangat buat mangsa tidak kira dalam apa jua kes agar tidak takut jika tidak melakukan kesalahan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI