fbpx

Bahaya gigi berlubang pada kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GIGI rosak akan menyukarkan kanak-kanak mengunyah. – Gambar hiasan

RAMAI beranggapan kesihatan gigi yang baik bermaksud memiliki gigi putih dengan senyuman cantik. Hakikatnya, ia lebih daripada itu.

Mengamalkan penjagaan gigi yang baik hendaklah bermula sejak bayi sehinggalah dewasa dengan amalan ringkas dan mudah.

Sayang sekali, ramai tidak dapat melihat kepentingannya dan mengabaikan penjagaan kesihatan mulut sehingga memberi kesan meluas dalam kehidupan.

Apatah lagi apabila gigi berlubang dikatakan tidak berbahaya kepada kanak-kanak. Kajian mendapati kanak-kanak yang giginya berlubang seawal usia tiga tahun berkemungkinan tiga kali ganda untuk mengalami masalah sama apabila dewasa.

Kajian Kesihatan Pergigian Kebangsaan Kanak-kanak Prasekolah (NOHPS) melaporkan, terdapat 71.3 peratus kanak-kanak berusia lima tahun sudah mempunyai gigi berlubang.

Pensyarah Kanan Fakulti Pergigian Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) yang juga merupakan pakar pergigian kanak-kanak, Dr. Yogeswari Sivapragasam berkata, penjagaan gigi harus bermula dari awal.

Menurutnya, ramai terlepas pandang penjagaan mulut bayi kerana golongan berkenaan hanya tumbuh gigi selepas beberapa bulan lahir.

“Namun begitu, gusi bayi masih perlu dibersihkan sekurang-kurangnya dua kali sehari.

“Rutin ini membantu menetapkan asas kepada amalan penjagaan harian dan kesihatan mulut kanak-kanak seumur hidupnya,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa hendaklah mendapatkan nasihat daripada pengamal kesihatan mengenai cara menjaga kesihatan mulut sejurus kelahiran bayi termasuk apabila gigi pertama anak tumbuh.

Dr. Yogeswari menjelaskan, apabila gigi bayi tumbuh, ia adalah satu kebiasaan dan mereka perlu diperkenalkan kepada makanan baharu mengikut perkembangan diet dan keperluan nutrisi.

Namun begitu, penting untuk memperkenalkan makanan baharu secara beransur-ansur dan berhati-hati.

“Saya menasihati ibu bapa untuk menunda pemberian garam dan gula dalam diet anak-anak supaya mereka tidak mula menyukai rasa tambahan ini pada usia muda.

“Pengambilan berterusan makanan manis boleh membawa risiko tinggi masalah pergigian, selain penyakit kronik seperti obesiti dan kencing manis,” jelasnya.

Selain itu, ada masanya kanak-kanak tidak mahu makan sesetengah makanan atau enggan menggosok gigi.

Walaupun sikap begitu dapat dijelaskan dengan mudah sebagai kanak-kanak yang memilih dan cerewet, namun ada kemungkinan ada sebab-sebab lain.

IBU bapa perlu memainkan peranan terhadap penjagaan mulut dan gigi kanak-kanak. – Gambar hiasan

“Kanak-kanak yang giginya berlubang atau sakit gusi mungkin mengalami ketidakselesaan dan kesakitan kronik sehingga menyebabkan mereka tidak mahu makan kerana perlu mengunyah.

“Tanpa sengaja mereka akan mengelak daripada makan makanan dalam bentuk sebiji atau seketul seperti buah epal atau ayam,” terang Dr. Yogeswari.

Tambahnya, sebaliknya, mereka memilih makanan lembut yang kebanyakannya adalah diproses, tinggi kandungan garam, gula dan berlemak.

Pada jangka masa panjang, ia akan membawa kepada kekurangan gizi pemakanan atau keadaan kronik yang menjejaskan kesihatan kanak-kanak sehinggalah dewasa.

Kesakitan berpanjangan boleh menyebabkan kanak-kanak meragam atau menjejaskan keupayaan untuk menumpukan perhatian kepada pelajaran di sekolah.

Selain itu, kesihatan mulut yang buruk boleh menjejaskan keyakinan diri jika mereka diusik kerana gigi berwarna kuning atau mereput.

Mereka akan mengelak daripada terlibat dalam aktiviti bersosial atau lebih suka bersendiri.

Oleh itu, ibu bapa perlu lebih peka dan memantau jika anak mereka mempunyai masalah gigi sekiranya anak mereka tiba-tiba tidak mahu mengunyah atau meragam tanpa sebarang sebab munasabah.

Dalam pada itu, ibu bapa boleh membantu menyokong kesihatan mulut anak berdasarkan tahap-tahap tumbesaran mereka.

Perhatikan sebarang petanda jelas seperti gusi berdarah, ulser atau perubahan warna gigi.

Dr. Yogeswari juga mengingatkan mengenai salah faham umum bahawa gigi susu itu tidak penting kerana ia akan luruh juga satu hari nanti.

Tabiat menjaga kesihatan mulut dan gigi yang baik seumur hidup bermula sejak usia kanak-kanak.

Penjagaan kesihatan mulut juga berbeza-beza mengikut peringkat umur.

Sebelum gigi bayi tumbuh, gunakan kain bersih dan lembap yang dililitkan pada hujung jari untuk mengelap lembut gusi bayi pada waktu pagi serta malam.

Setelah tumbuh gigi pertama, gunakan berus gigi mesra bayi bersama ubat gigi berfluorida untuk memberus gigi dan gusi anak secara perlahan.

Lakukan sekurang-kurangnya dua kali sehari sebagai satu rutin.

Apabila memasuki umur prasekolah, kanak-kanak sudah pandai memegang berus gigi sendiri.

Namun, mereka masih memerlukan bimbingan ibu bapa supaya boleh memberus gigi dengan betul dan bersih.

Berikutnya, apabila memasuki usia persekolahan, kanak-kanak sepatutnya sudah pandai memberus gigi sendiri dengan pemantauan ibu bapa.

“Kita tidak boleh mengasingkan penjagaan mulut daripada seluruh badan. Ini kerana kesihatan mulut dan umum adalah saling terkait.

“Celik kesihatan secara keseluruhan merangkumi pemakanan sihat dan kebersihan diri yang baik. Ia termasuk tabiat penjagaan mulut yang menyumbang kepada kesihatan serta kesejahteraan diri,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI