fbpx

24 negara catat kes taun, WHO tingkatkan amaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Petugas kesihatan memberikan vaksin kolera kepada kanak-kanak dalam kempen vaksinasi di wilayah Idlib, Syria pada 7 Mac lalu. - AFP

GENEVA –  Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa situasi wabak kolera atau taun di seluruh dunia semakin buruk dengan 24 negara kini mencatatkan kes bagi penyakit tersebut, lapor agensi berita United Press International (UPI) kelmarin.

“Sebanyak 24 negara melaporkan beberapa tahap kes kolera setakat Isnin lepas,” kata WHO dalam satu kenyataan sambil menambah, sejak Januari lalu, wabak baharu dilaporkan berlaku di Tanzania, Afrika Selatan, Zimbabwe dan Zambia.

Menurutnya, Siklon Tropika Freddy yang melanda beberapa bahagian di Afrika Timur pada Februari lalu telah memburukkan lagi situasi itu manakala ribut menghampiri paras setara dengan taufan kategori 4, hujan lebat, banjir serta kerosakan pada sistem air termasuk pembetung mendorong penyebaran wabak taun.

Secara keseluruhan, lebih 36,000 orang telah dijangkiti wabak itu dan 1,700 lagi terkorban sejak peningkatan kes kolera berlaku di seluruh dunia pada tahun lepas, demikian menurut WHO.

Kebanyakan negara yang melaporkan wabak itu juga menyaksikan kadar kematian yang lebih tinggi dalam kalangan mereka yang menghidap penyakit cirit-birit akut yang disebabkan oleh jangkitan usus dengan bakteria Vibrio cholerae.

Kira-kira satu dalam setiap 10 orang yang menghidap kolera akan mengalami gejala yang teruk, demikian menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS).

Walaupun jangkitan kadang-kadang boleh menjadi teruk atau mengancam nyawa, ia kebiasaannya lebih ringan atau berlaku tanpa gejala.

“Keupayaan keseluruhan untuk bertindak balas terhadap wabak berbilang dan serentak terus menjadi tekanan disebabkan kekurangan sumber global termasuk kekurangan vaksin taun oral.

“Ini diburukkan lagi dengan kekangan dihadapi petugas perubatan yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai wabak penyakit termasuk kecemasan kesihatan lain pada masa sama,” kata WHO. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI