fbpx

Vila mewah mesra ‘si bulus’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penginapan Plassid Villa di Seremban, Negeri Sembilan berkonsepkan rumah Melayu klasik.

BAGI pemilik haiwan peliharaan, antara aspek yang sering diambil kira sekiranya ingin bercuti panjang bersama keluarga adalah kebajikan si comel kesayangan mereka.

Jika diberi pilihan, sudah tentu mereka mahu membawa sekali haiwan kesayangan itu bersama ketika bercuti berbanding meletakkannya di tempat peliharaan sementara.

Berita baik buat pemilik kucing, Plassid Villa yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan membenarkan penginap untuk membawa bersama haiwan peliharaan seperti si bulus sepanjang menginap di sana.

Vila yang terletak di Gunung Berumbun itu menyajikan panorama indah dengan suasana kehijauan hutan hujan serta deruan sungai dan air terjun.

Reka bentuk vila tersebut berkonsepkan rumah Melayu klasik, sekali gus sesuai untuk mereka yang mahukan suasana bercuti di kampung.

Pemilik Plassid Villa, Patrick Chang, 65, berkata, ruang vila yang luas dan bersifat persendirian itu sesuai kepada penginap yang mahu membawa kucing.

Bagaimanapun, setiap penginap dinasihatkan untuk memaklumkan kepadanya terlebih dahulu sekiranya mahu membawa haiwan.

Ujarnya, pengunjung juga perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak Plassid Villa.

“Vila ini membenarkan penginap untuk membawa kucing mereka, namun ia bersyarat.

SETIAP katil dilengkapi kelambu bagi melindungi penginap daripada gigitan nyamuk.

“Haiwan-haiwan ini tidak dibenarkan untuk berada di atas katil bagi memastikan kebersihan tempat tidur sentiasa terjamin.

“Penginap perlu menyediakan tempat tidur asing untuk haiwan mereka,” katanya kepada Horizon .

Plassid Villa mula menjadi tempat staycation pada Disember 2014.

Vila berkenaan menyediakan dua bilik yang boleh memuatkan sehingga lapan hingga 10 orang dengan pilihan katil single, katil double serta toto.

Katil-katil tersebut memiliki kelambu bagi melindungi penginap daripada gigitan nyamuk yang sinonim dengan keadaan hutan di sekeliling vila.

Selain itu, perkhidmatan jakuzi disediakan di luar rumah bagi sesiapa yang mahu berendam sambil ditemani kicauan burung-burung.

Penginap juga boleh menyediakan hidangan lazat dengan menggunakan kemudahan barbeku di tapak yang disediakan.

Bagi menghidupkan lagi suasana kampung, vila berkenaan tidak dilengkapi dengan pautan internet, pendingin hawa dan televisyen.

“Vila ini merupakan lokasi percutian terbaik bagi mereka yang mahu lari daripada hiruk-pikuk kota dan ingin menikmati alam semula jadi.

“Semua peralatan dapur disediakan. Penginap hanya perlu bawa barang basah sahaja,” tuturnya lagi.

Harga bilik penginapan berkenaan bermula daripada RM900 semalam. Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari Facebook, Plassid Villa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI