fbpx

Tak perlu ‘touch’ dan boleh ‘go’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Isu plaza tol ini bukan baru. Kadangkala boleh naik darah bila lalu tol. Orang masuk salah lorong. Masuk lorong, baru sedar duit di kad tidak cukup hingga sebabkan kesesakan.

Kadang-kadang pakai kad Touch ‘n Go masuk lorong SmartTAG. Pakai SmartTAG masuk lorong RFID. Yang paling geram, duit tak ada tapi guna tol.

Itu tidak lagi isu jumlah plaza tol yang sedikit dan kesesakan. Plaza tol dibina menggunakan unjuran kenderaan zaman 25 tahun lalu seperti di Plaza Tol Port Dickson dan Seremban.

Di Malaysia, ada kira-kira 180 plaza tol di seluruh negara. Paling banyak di Lembah Klang. Kira-kira lima juta pengguna melalui plaza tol di Malaysia setiap hari.

Jadi ia mencetuskan pelbagai isu daripada kesesakan kepada sistem.

Ada mencadangkan supaya tol seperti di Lebuhraya PLUS dihapuskan. Cuma masalahnya siapa hendak tanggung kos potong rumput atau bersihkan tandas hingga turap jalan sepanjang lebuh raya sepanjang kira-kira 800 kilometer.

Kini jika ada keuntungan operasi tol lebuh raya PLUS dikembalikan kepada KWSP yang juga pemegang saham utama yang mana mewakili 13 juta pencarum.

Namun timbul mengenai isu monopoli Touch ‘n Go sebagai sistem pembayaran. Kerajaan kini mungkin menimbang semula monopoli itu yang dilihat tidak menunjukkan kemajuan meyakinkan selepas dua dekad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa kerajaan mungkin mengkaji semula sudah sistem monopoli pembayaran tol.

“Kita akan menimbangkannya semula,” katanya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan, semakan itu tidak bermakna penamatan perkhidmatan pembayaran menggunakan kad Touch ‘n Go, sebaliknya kerajaan bercadang untuk mempelbagaikan sistem pembayaran.

Ketika ini dilaporkan terdapat banyak rungutan masyarakat membabitkan kad baharu Touch n’ Go.

“Justeru, mesyuarat Kabinet baru-baru ini meminta kementerian saya agar disegerakan kaedah pembayaran secara terbuka dengan melibatkan semua jenis sistem,” kata menteri pengangkutan itu.

Sementara itu, Prasarana Malaysia Berhad juga sudah diarahkan untuk membolehkan penumpang membayar perkhidmatan bas dan rel menggunakan sebarang jenis kad debit atau kredit selain token koin mesin, manakala Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) diminta bertanggungjawab dengan tol di lebuh raya.

Mungkin sudah tiba masanya selepas dua dekad kita bergerak kepada tak perlu kad pembayaran, sebaliknya sistem yang akan merekodkan perjalanan di plaza tol seperti sistem Gantri yang kemudian mengenakan caj kepada akaun pemilik kenderaan.

Dengan sistem ini tidak lagi perlu beratur di plaza tol dan sibuk turunkan tingkap. Ada yang sampai hingga pondok tol baru sibuk mencari kad. Ada yang sampai terkehel tengkuk kerana hendak mencapai mesin pembaca.

Kita harus memikirkan cara perjalanan lebih mudah dan pantas tanpa perlu pelaburan untuk membina plaza tol baru bagi menampung jumlah kenderaan sebanyak lima juta sehari.

Kita perlu bergerak daripada ‘touch n go’ kepada tak perlu ‘touch’ dan ‘just go’ tetapi masih perlu bayar.

Mana tahu sistem yang lebih efisien tanpa perlu pelaburan besar dan pembabitan manusia dapat mengekalkan kadar tol pada paras rendah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI