fbpx

Saya cuma buruh, reda keputusan penerbit – Adi Putra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADI Putra dan Beto Kusyairy, dua nama yang tidak tersenarai dalam barisan pelakon prekuel filem Mat Kilau terbitan Studio Kembara.

KUALA LUMPUR – Selepas mendapat pengesahan daripada Kembara Studio bahawa dirinya tidak tersenarai sebagai pelakon filem prekuel Mat Kilau, Datuk Adi Putra mengakui reda dengan keputusan penerbit.

Kata Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putra Halim, tiada sebab untuknya mempertikaikan pertimbangan dibuat produksi memandangkan semua yang berlaku berbalik kepada qada dan qadar.

“Pelakon terhad kepada batasan, manakala penerbit pula mempunyai kuasa dan ketentuan untuk membuat pilihan mengikut cita rasa mereka.

“Kita pun cuma seorang pelakon yang boleh saya katakan sebagai buruh di bawah kategori pekerja bebas, selain tiada kuasa mutlak.

“Apabila dapat pengesahan (tidak disenarai) menerusi kenyataan penerbit, saya akur dan reda. Saya terima qada dan qadar,” kata bintang utama Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu kepada Kosmo! Online ketika pelancaran kempen membeli sambil beramal Starvilion Laskar Raya 2023 baru-baru ini.

Pada Oktober tahun lalu, penerbit Studio Kembara, Abdul Rahman Mt. Dali mengumumkan selain Syamsul Yusof selaku sutradara filem tersebut yang tidak terbabit dalam pembikinan prekuel, dua pelakon utama iaitu Adi dan Beto Kusyairy juga tidak disenaraikan.

Menolak dakwaan tindakan berkenaan disebabkan konflik dalaman, Abd. Rahman menegaskan pemilihan barisan baharu dilakukan kerana watak membabitkan Adi dan Beto belum wujud dalam fasa prekuel.

Mengikut perancangan asal, difahamkan penggambaran filem prekuel tersebut dijadualkan berlangsung tahun ini.

Terdahulu, Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang ditayangkan di Malaysia, Singapura dan Brunei pada 23 Jun 2022 meraih kutipan RM97 juta, sekali gus mencipta rekod sebagai karya tempatan yang mencapai kutipan tertinggi.

Sementara itu, berkongsi mengenai kolaborasi dengan Starvilion, aktor merangkap usahawan terbabit yakin kempen direalisasikan dapat mencapai sasaran sekali gus memberi sinar kepada golongan memerlukan.

Malah biarpun dikhabarkan mendapat bayaran lumayan bersama Nora Danish sebagai duta kempen terbabit, selebriti berusia 42 tahun itu lebih mendahulukan manfaat sesuatu projek kepada umum.

“Kempen Starvilion pada tahun ini menawarkan pembayaran baju raya secara ansuran iaitu ‘bawa balik raya hari ini, bayar kemudian’.

“Ini antara keunikan yang menarik perhatian saya apabila memberi peluang kepada individu tidak berkemampuan dapat berbaju raya baharu meraikan Syawal,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI