fbpx

MOF pandang serius tuduhan palsu pembatalan pengecualian cukai Yayasan Albukhary

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MOF) memandang serius tuduhan palsu pihak tertentu berhubung dakwaan pembatalan kepada kelulusan pengecualian cukai yang telah diberikan kepada Yayasan Albukhary.

Kementerian itu berkata, Yayasan Albukhary telah diluluskan di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan sebagai institusi yang ditubuhkan bukan untuk tujuan mencari keuntungan namun semata-mata ditubuhkan bagi maksud amal.

“MOF sama ada melalui mantan Menteri Kewangan atau pegawai-pegawainya, tidak membuat sebarang pembatalan kepada kelulusan pengecualian cukai yang telah diberikan kepada Yayasan Albukhary,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut adalah sebagai mengulas berkenaan isu tular dalam media sosial yang mendakwa mantan Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah membatalkan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary dan surat pembatalan tersebut telah ditandatangani oleh pegawai MOF.

MOF bagaimanapun menegaskan bahawa pihak mereka memandang serius tuduhan tersebut dan laporan polis juga akan dibuat berhubung dakwaan berkenaan.

Terdahulu, Guan Eng semalam telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur berikutan dakwaan tersebut yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Media sebelum ini melaporkan Muhyiddin dalam kenyataan pada 9 Mac lalu mendakwa kerajaan Pakatan Harapan telah membatalkan pengecualian pembayaran cukai yang sebelum ini diluluskan kepada yayasan tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat kelmarin bagaimanapun menafikan perkara tersebut dan mengesahkan Guan Eng ketika menjadi Menteri Kewangan tidak pernah membatalkan pengecualian cukai itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI