fbpx

Ibu buntu cari dana hantar anak leukemia buat rawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RINA WTEY (kiri) bersama anaknya yang menghidap leukemia di Kangar semalam.

KANGAR – Seorang pembantu jualan kedai sayur buntu memikirkan bagaimana untuk mendapatkan perbelanjaan bagi meringankan kos perjalanan bagi mendapatkan rawatan anaknya yang menghidap leukemia.

Menurut Rina Wtey Haris Pazilah, 43, anak sulungnya, Muhammad Anwar Hazique Muhammad Rizal, 13, disahkan menghidap leukemia ALL (Acute Lymphoblastic Leukemia) pada November lalu.
Katanya, mereka perlu berulang alik dari Perlis ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan kemoterapi.

“Dua bulan pertama, kami mampu bertahan kerana mene­rima bantuan daripada pelbagai pihak termasuk Persatuan Sahabat Kanak-kanak Kanser Wilayah Utara).

“Namun baru-baru ini, kea­daan semakin mendesak sehingga isteri bekas suami saya terpaksa menggadaikan
barang kemas bagi menanggung kos perjalanan rawatan anak yang semakin kerap berulang-alik dari Perlis ke Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Fauziah di sini semalam.

Katanya, kos setiap kali berulang-alik mendapatkan rawatan antara RM200 hingga RM300 merangkumi sewa kereta, tol, bahan bakar serta penginapan.

Tambahnya, dia mendapat upah antara RM60 hingga RM70 secara harian dan tiada pendapatan sekiranya pergi menemani anaknya mendapatkan rawatan di HPP.

“Saya berpisah secara baik dengan bekas suami, Muhammad Rizal Zainon, 42, namun dia tetap melaksanakan tanggungjawab dengan turut menghantar anak lelaki kami mendapatkan rawatan di Pulau Pinang secara bergilir walaupun masing-masing telah membina keluarga baharu.

“Bekas suami saya mengambil upah sebagai nelayan dan kadangkala menerima tempahan membuat batu nisan, namun kini dia bagaikan hilang pendapatan kerana masa yang ada digunakan untuk berulang-alik menemani anak menerima rawatan,” kata­nya.

Mengulas mengenai kesihatan anak pertama daripada tiga beradik itu, Rina Wtey berkata, Muhammad Anwar
Hazique ialah seorang kanak-kanak yang aktif dan pernah mewakili sekolah dalam sukan sepak takraw.

“Bagaimanapun, keadaannya semakin melemah dan tidak bermaya setelah mengalami demam hampir satu bulan pada Oktober tahun lalu, sebelum disahkan menghidap leukimia ALL setelah bacaan sel putihnya mencecah lebih 260.

“Kini anak saya terpaksa menangguhkan pelajarannya sehingga Julai ini bagi memberi laluan kepada rejim rawatan bagi merawat masalah kesihatan yang dihadapi,” kata ibu yang mana anak bongsunya turut mengalami masalah buah pinggang sejak lahir.

Katanya, dia turut menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat turut membantu meringankan beban kewangannya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional Rina Wtey bernombor 0213441100008538.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI