fbpx

Terbabas sebelum digilis, kesemua tidak pakai helmet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang murid perempuan berusia sembilan tahun maut selepas motosikal diboncengnya dilanggar treler sebelum digilis

KLANG – Kemalangan maut melibatkan seorang murid perempuan berusia sembilan tahun di Kampung Telok Gong, hari ini berlaku apabila motosikal diboncengnya terbabas selepas melalui bahu jalan berpasir.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, semasa kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi itu sebuah treler sedang menghala ke Telok Gong dari Klang.

Katanya, apabila tiba di persimpangan Jalan Bawal, Teluk Gong, sebuah motosikal yang ditunggangi oleh seorang wanita bersama dua murid sekolah telah keluar dari simpang menghala ke arah Teluk Gong.

“Penunggang motosikal tidak dapat mengawal motosikal kerana bahu jalan berpasir menyebabkan motosikal dan penunggang serta pembonceng
telah terjatuh di atas jalan raya.

“Mangsa seorang pelajar perempuan digilis tayar belakang treler itu dan meninggal dunia di tempat kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang murid perempuan berusia sembilan tahun maut selepas motosikal diboncengnya dilanggar treler sebelum digilis ketika perjalanan pulang dari sekolah di Kampung Telok Gong, hari ini.

Menurut beliau, penunggang motosikal tersebut patah tangan kanan dan seorang lagi penunggang motosikal iaitu seorang murid lelaki cedera di bahagian kepala dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut.

“Ketiga-tiga penunggang dan pembonceng tidak memakai topi keledar. Pemandu treler berusia 36 tahun cedera di bahagian muka akibat dipukul oleh orang ramai,” jelasnya.

Sehubungan itu, Hoong Fong meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd. Yunus Abd. Rahim di talian 011-25300305 atau menghubungi Balai Polis Trafik Klang Selatan melalui talian 03-33722222. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI