fbpx

Shuhada tak halang Hafidz Roshdi jumpa anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RASA sayang dalam hati Shuhada kepada Hafidz hanya atas dasar pelakon itu merupakan bapa kepada dua cahaya mata mereka. Foto - AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Meskipun berhadapan dengan krisis rumah tangga, Nurul Shuhada tidak akan memutuskan hubungan suaminya, Hafidz Roshdi dengan dua anak mereka.

Pemilik nama penuh Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, itu memberitahu dia tidak akan menghalang pelakon drama Melastik Ke Hatimu berkenaan untuk bertemu dengan dua anak mereka iaitu Humairah, 6, dan Umar, dua tahun.

“Humairah ada bertanya tentang ayahnya dan sebagai seorang ibu, saya tak akan memburuk-burukkan Hafidz sebab itu ayah mereka.

“Saya tiada halangan untuk dia bertemu dengan anak-anak. Walaupun kami tak bersama sekali pun, saya mahu hubungan dia dengan anak-anak kekal erat,” katanya kepada Kosmo! Online di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.

Menjawab sama ada dia terbuka untuk menerima kembali Hafidz dalam hidupnya, Shuhada hanya berserah kepada ketentuan Tuhan.

Bahkan, rasa sayang yang tersisa dalam dirinya juga hanya kerana disebabkan pelakon itu merupakan bapa kepada dua-dua anak mereka.

“Saya serah semuanya kepada Allah SWT sebab apa pun keputusan, saya juga tak tahu mana yang terbaik. Apa yang Allah sudah takdirkan kepada saya, itu yang terbaik.

“Perasaan sayang itu subjektif. Ketika ini sayang saya terhadap Hafidz hanyalah kerana dia merupakan ayah kepada anak-anak kami,” ujarnya.

Mengulas mengenai surat terbuka yang menuntutnya untuk meminta maaf atas beberapa tuduhan terhadap Hafidz, Shuhada menjelaskan dia tiada niat untuk saling berbalah.

“Mengenai surat terbuka, saya tiada niat untuk berbalah. Saya juga sudah serahkan semua bukti kepada pihak peguam.

“Semua itu dilakukan demi maruah saya dan anak-anak, tak mahu dipijak-pijak lagi.

“Saya pun tak tahu dia nak saya mohon maaf mengenai apa sebab keluarga saya pun tidak bersuara atau meminta Hafidz meminta maaf mengenai insiden yang pernah berlaku sebelum ini,” jelasnya.

Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini menetapkan 9 Mei depan bagi sebutan semula kes cerai Hafidz dan isterinya Shuhada berhubung isu lafaz cerai yang dibuat aktor berkenaan sebanyak dua kali.

Hakim Syarie Siti Rahman Hussin menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Hafidz memohon satu tarikh lain bagi pihaknya menjawab tuntutan balas berhubung isu lafaz cerai itu.

Bagaimanapun, pihak mahkamah dimaklumkan terdapat isu baharu berhubung isu cerai itu apabila Shuhada mendakwa suaminya pernah melafazkan cerai kali pertama pada 22 Januari lalu menerusi aplikasi WhatsApp.

Kes perceraian tersebut dibuat mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Shuhada juga dilaporkan memfailkan perceraian di mahkamah itu pada 27 Februari lalu, susulan keputusan dan persetujuan kedua-dua keluarga.

Sebelum itu, adik Shuhada yang hanya mahu dikenali sebagai Sofia, memaklumkan Hafidz sah bercerai talak satu dengan kakaknya pada 22 Februari lalu yang mana lafaz ketika itu dibuat menerusi panggilan telefon.

Dalam prosiding hari ini, Hafidz diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kadir manakala Shuhada diwakili peguam Nurfarhana Abd Manaf.

Pada 13 Mac lalu, Hafidz didakwa dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu atas pertuduhan menumbuk pipi kiri Shuhada sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, Hulu Selangor.

Pelakon drama Tundukkan Playboy itu membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret.

Mengikut pertuduhan, Hafidz didakwa menumbuk isterinya menggunakan tangan sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Mahkamah kemudian membenarkan Hafidz diikat jamin RM4,000 selain turut memerintahkan dia dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani rawatan psikiatri.

Untuk rekod, Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI