PRODUK berasaskan kolagen pernah menjadi fenomena satu ketika dahulu sehingga syarikat pengeluar makanan tambahan berlumba-lumba untuk menghasilkan produk berasaskan ‘ramuan’ istimewa itu.
Manfaatnya yang boleh menganjalkan kulit menjadikan orang ramai cukup tertarik untuk mula mengambilnya sebagai suplemen harian.
Bagi seorang penggemar produk kolagen yang hanya mahu dikenali sebagai Fira, dia merupakan salah seorang individu yang cukup mempercayai keberkesanan kolagen selepas mengamalkannya lebih lima tahun lalu.
“Apabila menginjak usia pertengahan 30-an, saya mendapati kulit saya semakin kering dan sudah kurang berseri berbanding dahulu.
“Biarpun saya kerap melakukan rawatan kecantikan wajah di pusat-pusat kecantikan, namun saya mulai menyedari kepentingan mengambil makanan tambahan, khususnya kolagen yang diketahui memberi manfaat bagi keanjalan kulit manusia,” ujarnya.
Tambah Fira, selepas mengamalkannya untuk satu tempoh, dia menyedari kesannya pada kulit apabila kedutan di wajahnya kurang kelihatan, selain nampak lebih lembap.
“Biarpun kesannya agak perlahan memandangkan ia bergantung kepada gaya hidup seseorang, namun pengambilan yang konsisten telah terbukti menjadikan kulit saya tampak muda atau sekurang-kurangnya melambatkan lagi proses penuaan,” ujarnya.
Umum mengetahui manfaat kolagen terhadap kehidupan antaranya menganjalkan kulit, menjadikan seseorang itu tampak lebih muda, melebatkan rambut, kuku lebih sihat dan juga mengurangkan sakit-sakit sendi.
Justeru, minat terhadap produk berasaskan kolagen serta reaksi penerimaan yang ditunjukkan orang ramai terhadap kolagen telah mendorong seorang usahawan untuk menubuhkan sebuah kafe yang menyajikan minuman dan makanan berasaskan kolagen di Petaling Jaya, Selangor.
Kafe Bliss Babe bertempat di pusat beli-belah 1 Utama baru-baru ini tular memandangkan premis itu merupakan kafe berasaskan kolagen pertama di Malaysia.

Membuka pintunya secara rasmi kepada pengunjung sejak Disember tahun lalu, Bliss Babe menyajikan lebih 30 sajian minuman berasaskan kolagen seperti smoothie buah-buahan dan juga kopi.
Pengasas bersama kafe Bliss Babe, Joyce Yiap berkata, pada mulanya, dia hanya menjual produk berasaskan kolagen menerusi perniagaan dalam talian, yang lebih berbentuk kotak hadiah atau gift box.
“Saya memulakan perniagaan berasaskan produk kolagen dengan menjual gift box secara dalam talian.
“Namun, seorang pelanggan tetap kemudiannya bertanya kepada saya, adakah saya mempunyai kedai fizikal yang boleh dikunjungi dan dari situ, saya mula melakukan penyelidikan terhadap produk makanan serta minuman berasaskan kolagen dan menubuhkan Bliss Babe,” ujarnya kepada K2.
Keputusan untuk mewujudkan kafe ‘awet muda’ itu tenyata membuahkan hasil kerana ramai individu, sama ada lelaki mahupun wanita yang sudah pun mengetahui manfaat kolagen dalam kehidupan seharian.
Kolagen ialah sejenis protein berfiber yang berfungsi sebagai protein struktur dalam haiwan vertebrata atau haiwan bertulang belakang seperti ikan dan mamalia termasuk manusia.
Ia memberikan fleksibiliti kepada tisu kulit, tulang, rawan dan tendon.
Tubuh manusia boleh menghasilkan kolagen tetapi seiring pertambahan usia, kolagen semakin berkurangan.

Sumber kolagen dikatakan paling lazim diperoleh pada ikan selain turut dikatakan pada tumbuhan.
Kolagen paling banyak digunakan dalam bidang bioperubatan dan farmaseutikal menerusi penghasilan produk makanan seperti serbuk kolagen dan juga krim kecantikan. Malah, ia turut digunakan dalam industri makanan untuk dijadikan sebagai lapisan luar pada sosej.
Begitu pun, ia lebih popular dan lebih banyak dijumpai dalam bentuk serbuk sebagai suplemen yang sedia dibancuh dalam makanan dan juga minuman.
Joyce berkata, produk kolagen yang digunakan di kafenya adalah dalam bentuk serbuk yang didapati dari Korea Selatan. Pengguna boleh memilih sama ada mahukan kolagen berasaskan ikan atau kolagen berasaskan tumbuhan bagi mereka yang vegan.
Terang Joyce, kesemua minuman dan pencuci mulut di Bliss Babe mengandungi antara 10 gram hingga 30 gram (g) kolagen.
“Di Bliss Babe, kesemua minuman dan pencuci mulut yang disajikan akan dibancuh dengan kolagen.Antara rangkaian minuman ditawarkan termasuk teh panas atau sejuk, smoothie buah-buahan dan juga kopi kolagen.

Selain itu, ia termasuk rangkaian minuman dengan puding kolagen.Bagi siri minuman berasaskan puding kolagen, kami memasukkan 10g kolagen ke dalam puding yang kemudiannya disajikan kepada pelanggan.
“Kami juga akan menerangkan kepada pelanggan cara untuk menikmatinya supaya mereka dapat merasai kesemua gabungan perisa yang ada pada minuman tersebut,” ujarnya.
Minuman seperti Love From Mum iaitu gabungan kurma merah dan goji beri serta Granny Says iaitu halia tua dengan gula perang merupakan antara menu dengan 30g serbuk kolagen di dalamnya. Ia sesuai buat mereka yang lebih berusia dan mungkin mahu mengambil kolagen dalam jumlah yang lebih banyak.
Selain menumpukan kepada pengambilan kolagen dalam cara yang lebih mudah, Joyce berkata, Bliss Babe turut mempromosikan minuman yang lebih menyihatkan apabila memilih untuk tidak langsung menggunakan gula dalam penyajian minumannya.
Semua minuman di Bliss Babe hanya menggunakan manisan semula jadi seperti madu dan juga buah-buahan.














