fbpx

OPR dijangka kekal 2.75% tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Normalisasi OPR dilihat penting bagi mewujudkan ruang kewangan lebih besar bagi bank pusat sekiranya berlaku kelembapan ekonomi domestik pada masa depan. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus bagi sepanjang tahun 2023, berikutan situasi pasaran kewangan tempatan dan global ketika ini, menurut MIDF Research.

Firma penyelidikan pasaran itu berkata, BNM terlepas peluang bagi membina ruang dasar monetari sewaktu mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Januari dan 9 Mac lalu, ketika data ekonomi domestik mencerminkan arah aliran stabil dan kukuh.

Jelasnya, sekiranya OPR dinormalisasi sepenuhnya pada paras tiga peratus lebih awal, ia bakal mewujudkan ruang kewa­ngan lebih besar untuk bank pusat sekiranya kelembapan ekonomi domestik berlaku lebih teruk berbanding jangkaan.

“Walau bagaimanapun, keputusan itu tertakluk kepada ke­stabilan pertumbuhan ekonomi, peningkatan harga dan perubahan keadaan makroekonomi, khususnya pemulihan berterusan pasaran buruh dan permintaan dalam negeri yang semakin meningkat.

“Dari perspektif jangka sederhana, normalisasi kadar OPR diperlukan untuk mengelakkan risiko yang boleh menjejaskan kestabilan prospek ekonomi masa depan seperti inflasi dan peningkatan hutang isi rumah,” katanya dalam nota kajian yang diterbitkan semalam.

10 Mac lalu menyaksikan ke­gagalan bank kedua terbesar di Amerika Syarikat (AS), Silicon Valley Bank yang memulakan e­pisod kekecohan dan memberi implikasi meluas dalam pasaran ekuiti, kadar faedah dan sentimen pasaran.

Menurut MIDF, sekiranya ekonomi Malaysia berkembang lebih pantas daripada jangkaan, separuh tahun kedua 2024 menjadi masa terbaik untuk BNM mempertimbangkan untuk memulihkan dasar monetari ke tahap prapandemik, iaitu pada tiga peratus.

Ia turut meramalkan kedudukan ringgit bakal mengukuh kepada RM4 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS$) menje­lang akhir 2023, yang mana pe­ngukuhan AS$ menjadi faktor utama kejatuhan nilai keba­nyakan mata wang tahun lalu di­sebabkan kenaikan kadar faedah yang lebih pantas oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat.

“Ringgit menunjukkan prestasi lebih baik daripada mata wang utama lain tahun lalu, naik 12.5 peratus tahun ke tahun berban­ding yen, 5.9 peratus berbanding euro, dua peratus berbanding dolar Australia dan lima peratus berbanding pound sterling.

“Pada asasnya, ringgit dalam kedudukan yang baik memandangkan ekonomi domestik kekal pada momentum kukuh dan sebagai pengeksport bersih petroleum mentah, gas asli cecair serta minyak sawit, Malaysia mendapat manfaat daripada kenaikan harga komoditi global,” ujarnya.

Mesyuarat MPC BNM sete­rusnya dijadualkan pada 2 dan 3 Mei 2023.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI