fbpx

Mahkamah: Dua lelaki mengaku tidak bersalah pukul pekerja restoran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan pekerja restoran nasi kandar di Mahkamah Majistret Sepang, Selangor hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

SEPANG – Dua lelaki yang sebelum ini dirakam memukul pekerja sebuah restoran nasi kandar minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan, melakukan khianat dan mengeluarkan perkataan lucah.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh, M. Elanggovan, 51, dan M. Vengateswaran, 51, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman.

Elangovan yang bekerja sebagai pemandu van didakwa dengan empat pertuduhan manakala Vengateswaran yang merupakan pemandu teksi berhadapan tiga pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa mengeluarkan perkataan lucah dengan maksud mengganggu kesantunan terhadap Md. Jahirul Hoque dan Sarishkumar Jayakumar di sebuah restoran di Glomac, Cyberjaya dekat sini kira-kira pukul 7.30 malam 16 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Manakala pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan kepada Md. Jahirul Hoque di sebuah restoran pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.

Berikutan itu, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut pertuduhan ketiga, mereka didakwa telah melakukan khianat iaitu membaling pinggan milik Pelita Samudra Pertama (M) Sdn. Bhd. pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.

Pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Di mahkamah sama, Elanggovan turut didakwa dengan sengaja mencederakan Sarishkumar Jayakumar dengan menggunakan sebatang penyepit besi, justeru melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat dengan mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi manakala peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Lingeswaran Andiappan yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan paling minimum.

Ayuni Izzaty kemudian membenarkan Elanggovan diikat jamin RM11,600 bagi keempat-empat pertuduhan sementara Vengateswaran yang berdepan tiga pertuduhan dibenar ikat jamin RM8,600 dengan seorang penjamin warga tempatan bagi setiap tertuduh dan menetapkan 10 Mei depan untuk serahan dokumen selain meletakkan syarat tambah supaya tertuduh tidak mengganggu atau menghampiri mangsa dan saksi kejadian serta perlu melapor diri di balai polis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI