fbpx

FAM panggil Zulkarnain bantu siasatan penuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAM telah mengambil keputusan untuk menggantung Zulkarnain (tengah) serta merta daripada mengadili mana-mana aksi Liga M musim ini. - Foto ihsan Penang FC

PETALING JAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal melakukan siasatan secara menyeluruh terhadap pengadil Liga Malaysia (Liga M), Zulkarnain Zakaria yang mencetuskan kontroversi pada aksi Sabah FC bertemu Penang FC, Jumaat lepas.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui beberapa keputusan tidak konsisten melibatkan pengadil adalah perkara subjektif tetapi pihaknya tetap akan melakukan siasatan segera jika terdapat campur tangan luar.

“Kita akan lakukan siasatan dengan jawatankuasa penilai akan melihat dan memanggilnya (Zulkarnain). Selepas itu, ada tindakan susulan.

“Kita tidak boleh sampai menghukum terlalu awal kerana langkah seterusnya akan diambil oleh jawatankuasa pengadil,” kata Hamidin pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM, Kelanja Jaya hari ini.

Mengulas lanjut, Hamidin mengakui isu kelemahan pengadil bukan sahaja berlaku di Malaysia namun tetap terjadi di seluruh dunia dan badan induk bola sepak kebangsaan sentiasa memastikan prestasi pengadil berada pada tahap memuaskan.

“FAM sentiasa pantau pengadil dan ambil tindakan sewajarnya (jika ada kesalahan). Perkara ini agak subjektif kerana kita tidak tahu kalau hari ini bagus, esok jadi berbeza kerana sepanjang 90 minit perlawanan mungkin ada satu minit dia buat silap.

“Nak dapatkan 100 peratus (kesempurnaan mutu pengadilan), di Piala Dunia pun tak dapat. Kita kena adil pada pengadil tetapi salah tetap salah,” katanya.

Sebagai rekod, FAM telah mengambil keputusan untuk menggantung Zulkarnain daripada mengadili mana-mana aksi Liga M musim ini susulan daripada kesilapan yang dilakukan pada aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu yang menyaksikan Sabah melakar kemenangan 5-2. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI