fbpx

Agensi agama perlu lebih kreatif anjur program sempena Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na'im (tiga kanan) menyerahkan sumbangan Wakaf Prihatin Yayasan Waqaf Malaysia kepada Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia hari ini.- Foto oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Semua agensi agama Islam di peringkat persekutuan dan negeri perlu lebih kreatif dalam menganjurkan pelbagai program sempena Ramadan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, program itu tidak semestinya berbentuk agihan bantuan sebaliknya boleh menawarkan perkhidmatan kaunseling dan konsultasi keluarga.

“Sebagai contoh, baru-baru ini saya melancarkan Program Konsultasi Guaman Syarie Percuma sempena Ramadan yang dianjurkan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan ia ditawarkan secara percuma.

“Kreativiti bukan hanya program berbentuk agihan dan turun padang sebaliknya boleh menawarkan khidmat konsultasi dan nasihat guaman,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Sambutan Ihya’ Ramadan Peringkat Kebangsaan 2023 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Na’im berkata, Program Ihya’ Ramadan sepanjang bulan Ramadan ini diharap dapat memupuk semangat perpaduan, kerjasama, semangat kerja berpasukan dan mengeratkan ukhuwah sebagai sebuah masyarakat Malaysia Madani.

Terdahulu, Mohd. Na’im turut melancarkan Buku Ensiklopedia Ramadan yang diterbitkan hasil karya pegawai-pegawai Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di bawah bimbingan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah.

Pada program sama, Mohd. Na’im turut menyerahkan sumbangan Wakaf Prihatin Yayasan Waqaf Malaysia kepada Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia berjumlah RM15,000 dan Program Singgah Sahur Yayasan Waqaf Malaysia kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Gombak dengan nilai sumbangan RM8,000. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN