TENANG dan damai, itulah rasa yang hadir dalam sanubari penulis setibanya di pusat pelancongan Akekchep.
Terletak di Taman Negeri Royal Belum, Gerik, Perak, tempat tersebut menawarkan produk ekopelancongan kepada para pengunjung.
Salah satu aktiviti menarik yang boleh dilakukan di Akekchep adalah bermain dan memberi makan kepada ribuan ikan di santuari yang dibangunkan di situ.
Selain berpeluang melihat ikan air tawar seperti kelah dan tengas, antara aktiviti lain yang boleh dilakukan di situ termasuklah merentas hutan, berakit, lawatan ke taman herba serta melihat ikhtiar hidup masyarakat Orang Asli.
Akekchep merupakan produk ekopelancongan yang diuruskan sepenuhnya oleh Orang Asli kaum Jahai dari Kampung Orang Asli Sungai Tiang yang terletak tidak jauh dari situ.
Inisiatif pembangunan pusat ekopelancongan tersebut telah dilakukan melalui kajian oleh pihak TNB Research Sdn. Bhd. (TNBR).
Penyelidik Utama TNBR, Aisah Md. Shukor berkata, objektif utama inisiatif itu adalah untuk memastikan operasi sistem hidroelektrik TNB di situ berjalan dalam persekitaran lestari.
Menurutnya, banyak tasik besar yang wujud akibat projek hidroelektrik berhadapan dengan isu pemendapan sedimen sehingga memberi kesan kepada operasi stesen hidro milik TNB.
“Jadi, kami cuba teroka dan mengubah cara berfikir dengan mewujudkan sebuah produk ekopelancongan.
“Apabila ada produk sebegini, ia dapat meningkatkan kesedaran orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dalam menjaga habitat flora dan fauna di sekitar mereka,” katanya.

Tambahnya, disebabkan itu, pihaknya mendapat idea untuk mewujudkan santuari kelah dan menamakannya sebagai Akekchep.
Akekchep merupakan gabungan perkataan kaum Orang Asli Jahai iaitu Akek bermaksud ‘jangan’ dan Chep bermaksud ‘tangkap’.
Projek ekopelancongan Akekchep dimulakan melalui kajian yang dilakukan oleh TNBR sejak 2016.
Pusat ekopelancongan itu dikawal selia oleh penduduk Orang Asli setempat melalui Koperasi Orang Asli Sungai Tiang Gerik Berhad (KOAST) yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia sejak 2020.
Aktiviti di situ juga dipantau oleh Perbadanan Taman Negeri Perak.
Konsep ekopelancongan di Akekchep diadaptasi daripada sistem Tagal di Sabah yang berjaya meningkatkan ekonomi komuniti setempat melalui pengurusan sumber perikanan secara lebih lestari.
Pelaksanaannya diformulasi mengikut kesesuaian tapak dan budaya masyarakat setempat.
Malah, inisiatif Akekchep merupakan salah satu komitmen TNB dalam mendukung agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Ia dilaksanakan melalui penjagaan hak serta kebajikan Orang Asli, pengurusan sumber asli dan pemeliharaan biodiversiti.
Aisah menjelaskan, bagi membangunkan tempat itu, pihaknya memperkasa dua skop utama.

Katanya, ia merangkumi pembangunan pelan pengurusan sumber perikanan dan model perniagaan bagi mewujudkan potensi pertumbuhan ekonomi kepada masyarakat melalui program Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT).
“Pelan pembangunan pengurusan sumber perikanan merangkumi penandaan zon-zon kawasan bagi menjaga populasi ikan.
“Bagi CBT pula, kami melaksanakan beberapa sesi libat urus serta mendedahkan latihan teori dan praktikal.
“Ia bagi menyiapsiagakan penduduk tempatan dengan perniagaan berasaskan ekopelancongan,” jelasnya.
Berbicara tentang projek tersebut, Aisah menambah, ia diilhamkan oleh Yang Mulia Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah.
Katanya, tujuan utamanya adalah untuk memastikan populasi kelah di Perak khususnya di Taman Negeri Royal Belum semakin bertambah dan kekal.
“Baginda minta kami buat satu projek berkaitan konservasi kelah kerana baginda amat suka kepada ikan.
“Itulah permulaan kepada inisiatif program kelestarian alam sekitar ini.
“Program ini juga selari dengan hasrat baginda yang mahu populasi ikan kelah di sini terus bertambah,” katanya.
Ketika ini, perniagaan ekopelancongan di Akekchep diuruskan sepenuhnya oleh KOAST dan dipantau oleh Perbadanan Taman Negeri Perak serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Dalam pada itu, Penyelidik TNBR, Dr. Mohd. Shafiq Zakeyuddin berkata, melalui inisiatif Akekchep, populasi kelah di situ semakin bertambah.
Menurutnya, sebelum ini, mata pencarian Orang Asli di situ tertumpu kepada hasil hutan dan tangkapan ikan di tasik tersebut.
“Menerusi santuari kelah yang kita laksanakan di Akekchep ini, ia mampu menjadi produk ekopelancongan bagi menarik kedatangan pelawat.
“Ini memberi petanda yang baik kepada usaha menjaga populasi kelah, di samping menjadi sumber pendapatan tambahan kepada komuniti,” terangnya.
Mohd. Shafiq berkata, dalam usaha menjaga populasi ikan di situ, pihaknya telah melaksanakan pelan pengurusan sumber perikanan dengan mewujudkan zon-zon berbeza.
Dia memaklumkan, pihaknya membahagikan kawasan itu kepada empat zon yang merangkumi zon hijau, zon biru, zon merah dan zon kuning.
“Zon kuning adalah kawasan tuaian ikan untuk tempoh tertentu dan terhad kepada penduduk kampung yang berdaftar untuk inisiatif program ini.
“Zon biru pula adalah kawasan memancing rekreasi dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan.
“Bagi zon hijau, ia adalah kawasan memancing bagi penduduk kampung sahaja.
“Sementara, zon merah pula merupakan kawasan santuari ikan.
“Orang ramai dilarang memancing ataupun mengambil ikan di sini,” jelasnya.
Tambahnya, pihaknya juga mengajar Orang Asli tentang teknik menimbang dan mengukur saiz ikan bagi memantau perkembangan haiwan akuatik di situ.
Setelah inisiatif itu dilaksanakan, saiz ikan di situ naik dengan mendadak berbanding sebelum ini.
Dalam pada itu, Mohd. Shafiq menjelaskan, pihaknya berhadapan dengan pelbagai cabaran sewaktu melaksanakan inisiatif tersebut di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pada peringkat awal, penerimaan Orang Asli di kawasan itu agak skeptikal.
“Cabaran utama kami adalah untuk meyakinkan Orang Asli supaya terlibat dengan inisiatif ekopelancongan yang dilaksanakan di sini.
“Ini kerana ia mampu menjadi salah satu sumber pendapatan bagi membantu mereka menyara hidup.
“Ini merupakan perkara baharu dan luar daripada norma hidup mereka. Namun lama-kelamaan, penduduk tempatan boleh menerimanya.
“Mereka bukan hanya diajar cara untuk menguruskan santuari, malah diberi latihan menjadi pemandu pelancong dan cara menguruskan koperasi,” terangnya.
Kini, Orang Asli di situ menjadi tulang belakang dalam menjayakan inisiatif itu.
Malah, komuniti setempat dapat menjana pendapatan melalui produk ekopelancongan yang dilaksanakan di kawasan tersebut.















