PUTRAJAYA – Rang Undang-undang Akta Kesatuan Sekerja 1959 (Pindaan) 2022 dilihat boleh mewujudkan keadaan ketidakharmonian di tempat kerja.
Itu dakwaan dibuat oleh Gabungan Membantah Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU) menerusi memorandum yang diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri di sini pagi tadi.
Pengerusi CAMU, Rudy Rusly berkata, pindaan ke atas akta itu dijangka akan memberi kesan negatif terhadap produktiviti dan akan membawa impak buruk kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berkata, pihaknya berpendapat RUU berkenaan perlu dikaji semula kerana pindaan dimaksudkan akan memperkenalkan peruntukan berkaitan ‘kepelbagaian Kesatuan Sekerja’.
“Kami difahamkan, RUU itu mencadangkan untuk meminda Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan membenarkan lebih daripada satu Kesatuan Sekerja untuk wujud bersama dalam pertubuhan, perdagangan, pekerjaan atau industri yang sama atau serupa.
“Kepelbagaian kesatuan diperkenalkan kerajaan telah mengenepikan keputusan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2017 yang menyatakan kepelbagaian kesatuan sekerja berkenaan dengan pekerjaan sama bukanlah sesuatu yang baik (daripada sudut) keharmonian industri,” katanya.
Terdahulu, lebih 500 pekerja mewakili 38 kesatuan dan gabungan sekerja berhimpun secara aman di hadapan Bangunan Perdana Putra, di sini bagi membantah RUU berkenaan.
Dalam pada itu, memorandum oleh CAMU akhirnya berjaya diserahkan sendiri kepada Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Chan Ming Kai. – KOSMO! ONLINE