fbpx

‘Murid lain ke sekolah, kami PdPR dalam khemah PPS’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Nur Aina Qaisara belajar secara modul PdPR di dalam sebuah khemah di PPS SK Sri Pandan, Parit Raja, Batu Pahat semalam.

BATU PAHAT – Ketika murid-murid di beberapa buah negeri seronok kembali ke sekolah, keadaan itu berlainan di daerah ini apabila lebih 2,000 terpaksa belajar secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akibat banjir termenung.

Selain rumah mereka masih digenangi banjir, sekolah di situ juga masih dijadikan pusat pemindahan banjir (PPS) sejak le­bih tiga minggu lalu.

Seorang murid tahun enam dari Sekolah Kebangsaan Sri Pandan, Siti Nur Aina Qaisara SH Hairul Anuar, 12, berkata, dia berasa amat sedih kerana hanya mampu belajar di dalam khemah secara PdPR saja.

Siti Nur Aina antara murid mangsa banjir yang ditempat di SK Sri Pandan yang dijadikan Pusat PPS di sekolahnya itu.

“Saya sangat sedih kerana tidak dapat belajar dalam kelas bersama kawan-kawan yang lain sebab banjir.

“Saya terpaksa belajar secara PdPR dalam khemah sebab rumah saya belum bersih lagi dan air banjir masih bertakung,” katanya kepada pemberita.

Siti Nur Aina berkata, semua kertas lembaran kerja sesi PdPR telah diberi oleh cikgu untuk dijawap sebagai memenuhi masa belajar.

Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan Johor, Md. Said Md. Daimon berkata, seba­nyak lima buah sekolah di Johor masih tidak dapat beroperasi sepenuhnya pada hari pertama pembukaan persekolahan sesi 2023/2024 berikutan banjir yang belum surut.

Jelas beliau, sekolah itu membabit tiga di Batu Pahat dan dua di Segamat dengan kira-kira 2,000 murid belajar secara PdPR.

Ujarnya, tiga sekolah di Batu Pahat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Mendapat, SK Tanjung Semberong dan SK Sri Nasib Baik.

“Dua buah sekolah di Segamat pula ialah SK Pogoh dan Sekolah Menengah Kebangsaan di Buloh Kasap,” katanya semalam.

Md. Said berkata, dua sekolah di Segamat pula mengalami masalah ketiadaan elektrik, dan masih belum mendapat pengesahan daripada Jabatan Kerja Raya untuk digunakan bagi tujuan pembelajaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI